WM

Bantu famili lapar

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

"DALAM rezeki kita, ada rezeki orang lain. Insya- Allah tidak akan kurang rezeki kita jika berkongsi dengan mereka yang lebih memerlukan," kata pengusaha MeQ Cafe, Nur Ain Kodir, 35.

Terpanggil untuk membantu golongan yang memerlukan, usahawan berasal dari Kelantan itu mengambil inisiatif mengadakan pemberian makanan dan minuman percuma kepada penduduk sekitar Selangor khususnya di Damansara.

Ini kerana kekangan ekonomi dan kesan penularan pandemik Covid-19 sememangnya menjejaskan banyak keluarga terutama yang berpendapatan rendah.

Usaha murni itu diadakan menerusi agihan kad tabung amal khas kepada lebih 800 keluarga sejak awal Jun lalu.

Nur Ain berkata, dengan kad itu, keluarga yang memerlukan boleh berkunjung ke kafenya yang terletak di 59G, Jalan Cecawi 6/22, Kota Damansara, Selangor untuk mendapatkan makanan dan minuman secara percuma.

"Mereka yang memerlukan boleh datang mengambil makanan yang diperlukan keluarga masing-masing tanpa perlu membuat tempahan awal (3 petang hingga 12 tengah malam setiap hari kecuali Ahad), bergantung kepada menu yang disediakan.

"Setiap kad nilai keseluruhannya berjumlah RM100 akan dicop setiap kali makanan diambil dan ia boleh digunakan untuk tempoh enam bulan," katanya.

Ingin berkongsi rezeki dengan menyediakan juadah terbaik, makanan dan minuman yang disediakan untuk penerima bantuan di kafe Nur Ain bukan menu biasa-biasa.

Sebaliknya, lima menu istimewa seperti 'shell out' pakej A atau B, nasi goreng, sup, tom yam dan masakan berasaskan ayam.

Kata Nur Ain, kafenya cukup dikenali dengan masakan panas ala Thai, mi udang galah, nasi kukus, hidangan barat serta 'shell out' makanan laut segar.

"Untuk menu set 'shell out' misalnya, ia boleh dinikmati sehingga empat orang. Jika si ayah membawa balik ke rumah, ia boleh dinikmati bersama si isteri dan dua anak mereka.

"Jadi, keluarga berkenaan sudah tidak perlu lagi menahan lapar untuk malam berkenaan," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, inisiatif pemberian kad bantuan itu sudah dilakukan sejak awal tahun ini dan kini ia memasuki fasa ketiga.

Mengulas mengenai dana yang digunakan, Nur Ain berkata, dia menggunakan hasil keuntungan jualan di kafenya untuk menampung bantuan berkenaan.

Pada masa sama, dia juga mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu sama-sama membantu dalam menjayakan program bantuan makanan berkenaan.

Kata Nur Ain, meskipun peniaga makanan sepertinya turut terkesan dengan kenaikan harga barang dan kos operasi, namun ia tidak menghalang hasratnya untuk membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan.

Akui Nur Ain, dia sekeluarga pernah berasa betapa peritnya terpaksa mengikat perut kerana diuji dengan kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan.

"Namun, masyarakat tidak pernah meminggirkan kami dan tidak putus-putus menyokong meskipun ketika itu saya tidak mempunyai apa-apa, sekadar peniaga nasi lemak kecil-kecilan di tepi jalan.

"Kini, walaupun tidak kaya raya, tetapi saya mahu membalas balik budi masyarakat yang banyak membantu kami selama ini.

"Diharapkan keluarga yang memerlukan tidak segan untuk datang ke kafe kami bagi mendapatkan kad seterusnya mengambil makanan yang mereka perlukan," katanya yang beberapa tahun sebelum ini tular di laman sosial kerana berniaga nasi lemak di tepi jalan sambil mengendong bayinya yang masih kecil akibat desakan hidup.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:00am
d