WM

Ajak wanita cakna IT

Oleh Nurul Husna Mahmud

Pelayar internet pasti menyedari kebanyakan golongan yang berkongsi mengenai keselamatan siber didominasi golongan Adam.

Hingga timbul anggapan pengunjung atau individu yang tertarik mengikuti kandungan membabitkan dunia teknologi maklumat (IT) adalah lelaki.

Berhasrat mahu mengubah persepsi itu dan menarik lebih ramai wanita cakna dengan ilmu membabitkan IT, Dayana Kemesky, 27, mengambil pendekatan aktif menerusi TikTok untuk berkongsi perkara penting membabitkan isu wanita dan penggunaan Internet.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat Univesiti Teknologi PETRONAS itu, wanita lebih mudah menjadi sasaran kepada golongan yang tidak bertanggungjawab di atas talian.

"Rakyat Malaysia lebih ramai berada di atas talian berbanding di luar talian kerana keperluan semasa menuntut mereka untuk bekerja, belajar dan bersosial di internet.

"Melihat kebergantungan ramai orang terhadap Internet terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mula berkongsi video mengenai keselamatan siber.

"Saya berasakan semua orang kena biasakan diri dengan topik keselamatan siber supaya dapat menjaga diri daripada bahaya ketika berada dalam talian.

"Menariknya dalam proses menyediakan kandungan berkaitan topik keselamatan siber itu, saya menyedari golongan wanita juga berminat terhadap topik berkaitan teknologi dan sentiasa mencari tip berkenaan keselamatan dalam talian.

"Mungkin golongan ini menyedari atau pernah berdepan dengan ancaman siber. Jadi, mereka ingin diberi kuasa untuk melindungi diri dari sebarang ancaman ketika dalam talian," katanya.

Tambah Dayana, sebagai penyedia kandungan berkaitan IT, dia tidak pernah terfikir mengenai stereotaip jantina kerana perkongsian lebih kepada pengalaman peribadi.

"Perkongsian saya berkaitan topik teknologi diterima baik kerana saya bercerita menerusi perspektif pengalaman sendiri.

"Orang boleh 'relate' kandungan yang saya kongsi dengan situasi mereka. Ini membuatkan setiap perkara yang ingin disampaikan mudah 'dihadam.'

"Begitu juga apabila saya kongsi video di TikTok, kandungan disediakan banyak menyentuh aspek privasi dan keselamatan siber kerana itu yang menarik reaksi komuniti yang mengikuti video.

"Impak interaksi di media sosial juga mewujudkan 'fenomena' apabila saya diundang ke kampus dan universiti di seluruh Malaysia untuk memberi ceramah meningkatkan kesedaran mengenai topik berkaitan dengan teknologi," katanya.

Malah tahun lalu, dia juga dijemput menjadi ahli panel dalam 'Online Hate Speech Workshop' iaitu inisiatif di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (UNDP) di Bangkok, Thailand.

Kata Dayana lagi, sebalik keseronokan apabila dapat berkongsi ilmu untuk dimanfaatkan pelayar internet, terdapat juga tekanan untuk menghasilkan kandungan yang lebih baik.

"Sebagai pembuat kandungan, tidak boleh lari daripada memiliki pemikiran negatif atau keraguan terhadap penerimaan kandungan video dikongsi untuk tatapan pelayar internet.

"Kadang-kala saya mempunyai persepsi penonton yang menonton video saya tidak berminat membaca keterangannya untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam.

"Ada kala saya rasa video dihasilkan tidak cukup menarik perhatian mereka atau pelayar lebih gemar selidik latar belakang saya dahulu sebelum mereka mengikuti video.

"Lebih cemas juga jika mendapat komen berbaur kebencian. Selalunya saya akan terangkan, tetapi ada masa juga ada pengguna lain yang menerangkan di ruangan komen," katanya.

Dalam mengenepikan pemikiran negatif, Dayana kerap mengingatkan diri sendiri mengenai tujuan asal dia membuat kandungan berkaitan teknologi adalah untuk manfaat orang ramai.

"Saya tidak boleh terkesan dengan pemikiran negatif dan kata-kata orang lain. Saya perlu fokus kepada sokongan dan dorongan daripada rakan serta keluarga untuk kekal teguh.

"Malah saya juga gemar mengambil inspirasi daripada pembuat kandungan lain sebagai rujukan. Contohnya dengan melihat kerja keras Khairul Aming dalam penghasilan video sehingga sudah mampu memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain dengan hasil perniagaan beliau.

"Dalam bidang teknologi saya suka tengok video Marques Brownlee sebab memberi inspirasi untuk memahami teknologi melebihi apa yang disajikan dan penyampaian beliau juga berkesan," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 7:00am
d