addin

Tidak membatalkan puasa

Oleh Datuk Dr Luqman Abdullah

Sempena Ramadan ini, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerima pertanyaan berhubung hukum mengambil ujian saringan (swab test) untuk pengesanan aktif Covid-19.

Sebelum saya ulas dengan lebih panjang, secara ringkasnya, ujian saringan Covid-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui hidung) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tidak sampai ke kawasan rongga dalam.

Ujian saringan, pengesanan dan pengesahan Covid-19 terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah Reverse Transcritase Polymerase Chain Reaction (Rt-PCR). Manakala yang kedua pula disebut sebagai Antigen Rapid Test (RTK Ag).

Kedua-kedua ujian ini dijalankan menggunakan calitan melalui tekak ( Oropharyngeal swab) dan melalui hidung (Nasopharyngeal swab). Kedua-dua ujian ini dijalankan untuk mengesan jangkitan virus Covid-19.

Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dengan kedalaman 18 iaitu kira-kira 4.8 sentimeter (cm) bagi kanak-kanak dan 8 hingga 12cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus.

Sementara kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mukus.

Antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan.

Ibn Al-Naqib Al-Misri menyatakan: "(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit." ( Ibn Al-Naqib, Ahmad Bin Lu'lu, 'Umdah Al-Salik wa 'Uddah Al-Nasik (1982), cetakan Al-Syuun Al-Diniyah)

Sheikh Zakariya Al-Ansari menyebut: "Orang yang berpuasa terbatal puasanya dengan sampainya sesuatu benda walaupun sedikit seperti bijan dan walaupun yang masuk itu kebiasaannya benda yang tidak dimakan seperti batu kecil. Yang mana ia masuk melalui saluran yang terbuka dengan sengaja. Ini kerana ia sampai kepada apa yang dinamakan sebagai rongga yang terbuka." (Asna Al-Matalib Syarh Raudh Al-Talib, Dar Al-Kitab Al-Islami)

Saluran yang terbuka itu termasuk telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri': "Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha', kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung." (Raudh Al-Talib wa Nihayah Al-Matlab Al-Raghib)

Oleh itu, menurut mazhab Syafie, apa sahaja yang masuk melalui saluran itu boleh menyebabkan puasa seseorang terbatal. Tambahan lagi, jika prosedur swab test yang dijalankan masuk jauh ke dalam rongga hidung. Ia dikira boleh membatalkan puasa seseorang.

Sheikh Zakariya Al-Ansari menyatakan hal ini: "Kemudian halkum dan di sebalik rongga hidung yang mana ia adalah pangkal hidung merupakan bahagian rongga. Apa-apa yang masuk ke dalam kedua-dua bahagian tersebut boleh menyebabkan puasa terbatal."

Pandangan ini berbeza dengan mazhab Maliki yang berpendapat bahawa puasa hanya terbatal jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut.

Apa-apa yang masuk melalui bahagian yang lain, maka ia tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Abdullah Al-Maliki menyebut: "Puasa terbatal dengan sampai sesuatu ke dalam rongga atau tali perut melalui mulut." (Manh Al-Jalil Syarh Mukhtasar Al-Khalil)

Sheikh Abu Al-Barakat Al-Dardir juga menyebut: "Adapun selain cecair maka ia tidak membatalkan puasa melainkan jika ia sampai ke perut melalui mulut." (Aqrab Al-Masalik ila Mazhab Al-Imam Malik)

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-3 tahun 2020, mesyuarat menetapkan :

"Prosedur saringan bagi mengesan penyakit Covid-19 adalah dengan mengambil sampel lender (mukus) yang berada di dalam rongga hidup sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut sehingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 yang memperakukan Panduan Berpuasa bagi Pesakit."

Justeru, ujian saringan Covid-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui mulut) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 6:01am
d