addin

Buang egomu wahai manusia

Oleh Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Kehidupan di dunia ini hanya datang sekali. Baik buruk seorang manusia, akan dinilai melalui semua perilaku dan perbuatannya di alam fana ini. Sama ada baik atau buruk, bergantung kepada apa yang diusahakan mereka setiap hari. Ini termasuk akhlak dan peribadi, sikap dan tingkah laku.

Antara perkara yang selalu membezakan seorang individu dengan individu yang lain ialah adakah tawaduk atau takbur seseorang itu dalam melayari hidupnya. Tak kira kepada dirinya, pasangannya, keluarganya atau orang sekelilingnya.

Perkataan tawaduk berasal daripada bahasa Arab yang membawa makna sikap dan perbuatan manusia yang mencerminkan kerendahan hati, tidak sombong dan tidak mudah tersinggung. Sikap tawaduk tertera dalam al-Quran Surah al-Furqan ayat 63: "Dan hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan."

Satu sifat yang sangat mulia, namun amat sukar untuk dimiliki hati seseorang. Percaya atau tidak, perkara itu memang tidak dapat dinafikan. Kebanyakan kita berasa amat sukar untuk memahat apatah lagi menyemai subur sifat ini dalam diri. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita mengatakan bahawa sifat ini mustahil ada dalam diri manusia. Bak kata pepatah Melayu 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.

Mendidik diri agar memiliki sifat rendah diri ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan terutama apabila berdepan dengan mereka yang kita anggap lebih rendah ilmu atau pangkat daripada kita. Berbanding orang yang hebat daripada kita, boleh pula kita merendahkan diri. Sepatutnya ini tidak berlaku kerana kita semua makhluk Allah SWT dan hamba-Nya. Allah SWT tidak memandang kepada pangkat dan darjat, tetapi melihat tahap ketakwaan dan keimanan seseorang.

Oleh itu menerapkan sifat ini dengan mengakui kebenaran dan menerima kebenaran walaupun pahit dan sukar ditelan, tiada rasa sombong dengan segala yang dimiliki dan rela hati serta reda kerana dapat menerima kebenaran. Ini semua asbab terhasil daripada 'halawatul iman' atau kemanisan iman.

Beberapa pandangan ulama berkaitan sifat tawaduk yang hebat ini

Bersikap tenang, sederhana dan bersungguh-sungguh serta menjauhi perbuatan takbur (sombong). Tawaduk adalah sifat orang Mukmin terutama golongan as-siddiqin (yang membenarkan ajaran agama Islam).

Orang yang patuh dan taat menerima yang benar serta menerima kebenaran itu walau daripada sesiapa pun tanpa mengira darjat atau kedudukan seseorang.

Tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain. Orang yang tidak pernah mendabik dada, orang yang bersifat lemah lembut dan hormat kepada sesiapa saja termasuk orang miskin dan tidak berpangkat.

Mempunyai sifat yang tegas dan hanya menerima perkara yang hak serta menolak bulat-bulat perkara yang batil dan sesat.

Antara perilaku orang yang memiliki sifat tawaduk

1. Mudah menerima pandangan orang lain walaupun beliau ada pandangannya sendiri

Beliau tidak mempunyai apa-apa masalah dalam menerima pandangan orang yang lebih muda ataupun orang yang lebih rendah pangkatnya.

Sabar dalam perbincangan, tidak mudah marah atau emosional, lebih menjaga suasana harmoni dalam perbincangan daripada bertegang leher dengan rakan.

2. Tidak memilih-milih kawan, boleh bergaul dengan semua orang, tidak kira sama ada orang bawahan atau orang atasan, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Malah boleh duduk bermesra dalam satu majlis dengan sesiapa yang pernah mengkritiknya.

3. Saling menghormati, sekiranya berjawatan, dia menghormati orang bawahannya. Sekiranya kaya, dia sangat memuliakan orang yang fakir dan miskin.

4. Dalam pergaulan, lebih suka menjadi pendengar dan hanya akan bercakap apabila perlu sahaja, tidak sewenang-wenangnya akan memotong percakapan orang lain sebaliknya memberi peluang orang itu menghabiskan percakapannya.

5. Jika ada sesuatu kebenaran yang hendak diperkatakan, dia lebih suka kebenaran itu keluar daripada mulut orang lain. Lebih-lebih lagi, jika ada orang yang lebih berpengalaman atau berilmu.

6. Kalau diminta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, tidak mendabik dada sebaliknya bersyukur. Jika pendapatnya ditolak, berlapang dada dan tidak berkecil hati.

7. Mudah memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang itu.

8. Segera meminta maaf jika berlaku kesilapan daripadanya sekalipun kepada orang yang lebih rendah daripadanya dari segi jawatan atau umur.

9. Tidak meninggi diri dengan menceritakan kelebihan yang ada pada dirinya. Sebaliknya dia lebih suka menceritakan kebaikan orang lain sebagai teladan.

Allah SWT berfirman: "Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang mengikutimu iaitu orang yang beriman." Surah asy-Syu'ara: 215

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kalian merendahkan diri sehingga seseorang tidak menyombongkan diri atas yang lain dan tidak berbuat zalim kepada yang lain." Hadis sahih Riwayat Muslim no 2588

Jika anda semua berkeinginan tinggi untuk memiliki sifat tawaduk ini siapakah yang akan menjadi ikutan terbaik anda? Tidak lain tidak bukan, manusia yang paling tinggi sifat tawaduknya sudah tentulah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah ada bagi diri kalian pada diri Rasulullah SAW teladan yang baik." Surah al-Ahzab: 21

Justeru, bersyukurlah kita ke hadrat Allah SWT kerana masih memberikan kita ruang dan peluang yang secukupnya untuk memperbaiki diri untuk menjadi hamba yang tawaduk zahir dan batin.

Semoga segala apa yang kita lakukan dalam hidup ini mendapat keredaan daripada-Nya serta tidak memberikan mudarat pada orang lain agar ia menjadi bekalan untuk menempah tempat di syurga firdausi-Nya kelak.

Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: February 17, 2022 @ 7:54am
d