addin

Jangan bersantai di tempat turunnya azab

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara tempat pelancongan yang sering menjadi tumpuan ialah kesan peninggalan sejarah umat manusia terdahulu, baik yang beriman kepada Allah SWT ataupun tidak. Antaranya ada yang pernah ditimpa bala bencana sebagai hukuman diturunkan oleh Allah SWT kepada penghuninya disebabkan mereka ingkar dan kufur terhadap-Nya.

Bagaimanapun, tempat tersebut ada yang diketahui lokasinya secara tepat seperti al-Hijr atau Mada'in Saleh (di Arab Saudi)‎ tempat kaum Thamud, al-Ahqaf (di Hadramaut) tempat kaum Ad dan Wadi Muhassir yang terletak antara Mina serta Muzdalifah tempat tentera bergajah Abrahah dihancurkan. Sebahagian lain hanya diketahui lokasinya secara umum atau tidak secara tepat seperti kawasan banjir besar pada zaman Nabi Nuh AS, daerah Madyan tempat kaum Nabi Syuaib AS, Laut Mati yang berkubur di bawahnya kota Sodom tempat kaum Nabi Lut AS serta Laut Merah tempat Firaun dan tenteranya tenggelam.

Umumnya, umat Islam diperintahkan supaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa tersebut. Ada pelbagai ayat yang menyatakan demikian, antaranya firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian berdasarkan) peraturan Allah yang tetap. Oleh itu, mengembaralah kamu di muka bumi kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (rasul)." (Surah ali Imran ayat 137)

Firman-Nya lagi: "Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang terdahulu daripada mereka? Orang itu lebih kuat daripada mereka dan orang itu meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan mereka serta orang itu juga didatangi oleh rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya). Dengan yang demikian, Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." (Surah ar-Rum ayat 9)

Kata Imam al-Baghawi dalam tafsirnya: "Tidakkah mereka berjalan dan mengembara di muka bumi, lalu memerhatikan tempat umat terdahulu dibinasakan, lantas mereka pun mengambil iktibar."

Adapun tempat yang diketahui lokasinya secara pasti, ada tatacara khusus yang diajarkan oleh Nabi SAW. Abdullah bin Umar RA menceritakan ketika Nabi SAW melalui kawasan al-Hijr (tempat kaum Thamud), baginda bersabda: "Jangan kamu sekalian masuk ke tempat kaum yang menzalimi diri mereka sendiri itu (lalu ditimpa azab) khuatir akan menimpa kamu apa yang menimpa mereka, melainkan kamu dalam keadaan menangis." Kemudian baginda menutup kepalanya dan mempercepatkan langkahnya sehingga melepasi tempat itu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Zahirnya, baginda SAW tidak melarang daripada memasukinya secara mutlak, tetapi mengenakan syarat supaya menangis kerana takutkan azab Allah SWT. Jika melalui tempat itu pula perlu menutup kepala serta mempercepatkan langkah ketika melintasinya.

Dalam riwayat lain pula, Abdullah bin Umar RA berkata: "Pernah sahabat bersama Rasulullah SAW singgah di al-Hijr negeri kaum Thamud, lantas mereka pun mengambil air telaganya dan menggunakannya untuk menguli tepung. Lalu, baginda SAW mengarahkan mereka supaya membuang air yang diambil dan memberi makan kepada unta tepung yang sudah diuli. Kemudian baginda SAW memerintahkan mereka supaya mengambil air daripada telaga tempat minumnya unta Nabi Saleh AS." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua-dua riwayat ini sebenarnya tidak bertentangan kerana menurut riwayat Imam Ahmad, sewaktu Rasulullah SAW menuju ke Tabuk pada tahun sembilan Hijrah, baginda SAW mulanya singgah bersama sahabatnya di al-Hijr tempat kaum Thamud, lalu sahabat pun mengambil air daripada telaga di situ dan mereka menguli tepung dengannya serta menyediakan periuk untuk memasak daging. Tiba-tiba, Rasulullah SAW mengarahkan mereka agar menumpahkan air periuk dan memberikan kepada unta tepung yang diuli. Kemudian Nabi SAW terus berangkat bersama mereka sehingga baginda singgah pula di telaga yang pernah digunakan oleh unta Nabi Saleh AS minum. Baginda melarang mereka untuk masuk ke tempat kaum yang pernah diazab itu seraya bersabda: "Sesungguhnya aku khuatir kalau nanti menimpa kamu seperti apa yang telah menimpa mereka, maka janganlah kamu memasuki tempat mereka." (Riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Ringkasnya, menziarahi tempat sebegini mestilah dengan tujuan untuk bertafakur dan mengambil iktibar serta menangis kerana rasa takut, bukannya sekadar berseronok untuk melihat kesan sejarah yang ada dan mengambil gambar. Adapun menziarahi tempat itu dengan tujuan berhibur atau bersantai semata-mata tanpa tafakur dan iktibar, perkara ini adalah dilarang. Sebahagian ulama seperti Ibn Taimiyyah mengharamkannya manakala sebahagian lain seperti al-Qurtubi menyatakannya makruh.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 6:00am
d