akademia

Pilihan utama belia

Oleh Suliati Asri

PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Justeru sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti negara maju lain.

Pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang itu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini dengan pengambilan pertama membabitkan 1,000 orang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat respons positif dari pelbagai pihak.

Perdana Menteri mengumumkannya ketika Majlis Perasmian Minggu TVET Negara 2022 baru-baru ini.

Program itu dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang TVET.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET adalah suntikan semangat yang boleh meningkatkan lagi enrolmen pelajar TVET pada masa ini.

Katanya, selain bakal pelajar ke pengajian tinggi mempunyai banyak kemudahan pembiayaan dan pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kini pelajar yang memilih aliran TVET mempunyai satu lagi dana melalui dermasiswa ini.

"Pelajar kini sudah mula memahami walau apa pun aliran asalkan peringkat ijazah, status mereka adalah sama. Malah, aliran TVET juga mulai diyakini lebih mudah untuk mendapat pekerjaan.

"Oleh itu, saya percaya selepas ini promosi untuk ke aliran TVET lebih meyakinkan dengan diperkenalkan dermasiswa TVET ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hasrat Perdana Menteri yang mahu melihat sekurang-kurangannya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, Dr Yuserrie berkata, perkara itu tidak begitu sukar untuk dicapai kerana pelajar lepasan SPM yang memasuki jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam jurusan diploma kejuruteraan atau teknologi kejuruteraan sudah berada dalam program TVET.

Malah katanya, program diploma kejuruteraan atau teknologi kejuruteraan di MTUN termasuk UMP adalah di bawah pengiktirafan badan profesional sama ada ETAC di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) atau Majlis Akreditasi Teknologi Dan Teknikal (TTAC) di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

"Kedua-dua badan ini mengartikulasikan standard program mereka dengan standard program TVET iaitu COPTPA yang merupakan Kod Amalan Akreditasi Program TVET dalam Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET," katanya.

Untuk mencapai hasrat itu, menurut Dr Yuserrie, UMP akan mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan ambilan diploma kejuruteraan dipertingkatkan.

"Graduan diploma ini sekali gus menjadi 'feeder' kepada program TVET aras tinggi di UMP. Dengan adanya Dermasiswa B40 TVET ini pastinya akan menjadi pencetus kepada peningkatan kemasukan ke aliran TVET negara.

"UMP juga kini meningkatkan program kerjasama dengan pihak sekolah, ibu pada dan komuniti setempat bagi memberi kesedaran kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) dalam menanam minat pelajar dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

"Selain itu, UMP turut menerima watikah pelantikan TVET Collaboration Hub dalam bidang automotif melalui Centre for Automotive Engineering UMP yang diiktiraf sebagai hub bidang automotif sempena Majlis Penutupan Minggu TVET Negara 2022 sebagai usaha merealisasikan agenda TVET di negara pada masa ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET itu adalah inisiatif yang berimpak tinggi dan bertepatan dengan khalayaknya.

Katanya, seperti diketahui umum, program TVET mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan dan mampu memberi impak positif terhadap pelajar B40 terutama dalam membuat persediaan selepas tamat pengajian.

"Pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET ini juga memberi sinar harapan kepada adik-beradik pelajar yang lebih muda untuk memberi tumpuan kepada pelajaran bagi meningkatkan ekonomi diri dan taraf hidup keluarga pada masa akan datang.

"Jadi, sudah tentu Program Dermasiswa B40 TVET akan menjadi antara daya tarikan utama bagi membantu meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang TVET," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, di peringkat MQA, pihaknya giat bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam memperkemas Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET bagi memastikan keselarasan jaminan kualiti pembelajaran pada peringkat pascamenengah.

Katanya, jaminan kualiti akan berterusan menuntut pengukuhan program TVET dari aspek berorientasikan pekerjaan dengan kerjasama industri bagi merapatkan jurang ketidakpadanan kemahiran dan pekerjaan.

"Kami juga berhubung dengan beberapa badan profesional dalam usaha mengkonsodilasikan akreditasi program TVET dalam bidang profesional," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2022 @ 7:00am
d