arena

'Shakir perancang terbaik' - Zaquan

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan, Shakir Shaari, adalah antara pemain tengah bertahan terbaik yang pernah bermain di Liga Malaysia (Liga-M).

Pengiktirafan itu diberikan penyerang Kedah, Zaquan Adha Abd Radzak, yang menyifatkan Shakir sebagai individu diam-diam berisi namun cukup efektif apabila diberikan peranan pemain nombor 6 yang bersifat pelindung kepada barisan pertahanan.

Malah Shakir yang menjadi siulan ramai penyokong Kelantan ketika bermain di sana pada musim 2010-2013, juga seorang tidak mudah cemas dalam apa juga situasi selain mempunyai teknik permainan yang berkualiti.

"Terus terang saya cukup suka permainan Shakir kerana dengan adanya dia memegang peranan pemain nombor 6, saya rasa barisan pertahanan banyak dibantu oleh kekentalan Shakir.

"Dia seorang yang tenang dan boleh dikatakan wira tidak didendang kepada pasukan memandangkan peranan posisi seperti Shakir tidak banyak dilihat oleh peminat.

"Dalam masa sama, teknik hantaran dimilikinya sentiasa membuka ruang kepada rakan sepasukan dalam mencari jaringan dan ini menambah kualiti yang ada padanya.

"Saya sudah mengenali Shakir sejak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) lagi dan tahu kualiti yang dia ada, jadi saya setuju jika mengatakan dia adalah pemain tengah terbaik bagi posisinya itu pada zaman dia bermain terutama ketika mewakili Kelantan dan JDT," katanya.

Shakir berada dalam senarai Best XI Zaquan Adha pada minggu ini dalam formasi 4-5-1 dengan empat pemain lain di bahagian tengah ialah Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Bagi penjaga gol, Farizal Marlias terus menjadi pilihan sementara barisan pertahanan dibarisi Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom, Aidil Zafuan dan Rizal Ghazali manakala penyerang pula milik bekas pemain import Negeri Sembilan, Christian Bekamenga.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 8:42pm
d