Badminton

Wooi Yik dulu dibuang, kini permata BAM

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Setiap kejayaan pasti mempunyai jalan cerita yang berbeza dan perjalanan pemain beregu negara Soh Wooi Yik juga sama.

Namun kejayaan meraih pingat gangsa di temasya Olimpik Tokyo menamatkan episod dukanya yang sebelum ini pernah 'dibuang' dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana tidak menyerlah.

Tapi itulah Wooi Yik, bapanya yang juga bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Soh Goon Chap berkata, hidup mati anaknya itu hanyalah badminton.

Goon Chap yang pernah menghadiahkan pingat gangsa di temasya Sukan Sea pada 1983 berkata, anaknya menerima tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika berusia 13 tahun namun terpaksa meninggalkan skuad kebangsaan kerana kecederaan dengan kontraknya tidak disambung ketika di bawah kendalian Pengarah Teknikal Persatuan BAM, Morten Frost Hansen.

Selepas digugurkan dari BAM, Wooi Yik bergerak sendiri dan kembali bersama skuad kebangsaan pada 2017 dan ketika itulah dia digandingkan bersama Aaron dan melangkah sehingga muncul naib juara Seluruh England pada 2019.

"Wooi Yik tak pernah mengalah, biarpun di buang BAM dia bergerak sendiri main di peringkat negeri sebelum di terima masuk balik ke BAM hingga sekarang.

"Kalau nak tahu Wooi Yik perangai dia lain macam sikit. Memang dia berani mati. Kalau pasal badminton dia akan buat apa saja sampai dia lupa dia perlu berehat," katanya.

Jelasnya lagi, corak permainan Wooi Yik sekarang ini menampakkan perubahan selepas di bawah kendalian Flandy Limpele.

"Saya tahu dia memang tak tenang sangat kalau dalam gelanggang. Cuma lepas berada di bawah Flandy itu ada nampak sedikit perubahan.

"Dia dan kurang 'kancheong' (takut) dan permainan dia sudah nampak boleh dikawal sikit.

"Saya harap dia boleh terus mencipta banyak lagi kejayaan selepas ini," katanya.

Selain bapanya Goon Chap, bapa saudaranya, Soo Beng Kiang juga seorang pemain badminton dan pernah beraksi di pentas terbesar bersama-sama Cheah Soon Kit serta memenangi Piala Dunia 1992 dan 1994.

Goon Chap berkata, dia mengharapkan Wooi Yik akan meneruskan legasi keluarganya dengan melakarkan lebih banyak kejayaan selepas ini.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 5:40pm
d