Badminton

Axelsen, Chen Long bertarung di final badminton

Oleh AFP

Tokyo: Pemain badminton nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark bangkit daripada permulaan goyah untuk mara ke final Olimpik sekali gus menamatkan kejutan daripada pemain bukan pilihan, Kevin Cordon dari Guatemala dalam usaha memburu gelaran.

Pemain nombor 59 dunia, Cordon menjadi antara kejutan terbesar di Tokyo tetapi aksi Axelsen terlalu klinikal buatnya apabila tewas pada saingan separuh akhir 21-18, 21-11.

Sensasi Denmark itu akan berdepan penyandang juara, Chen Long dari China esok dan dia bersyukur apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik selepas merangkul gangsa di Rio 2016.

"Sememangnya saya mahukan lebih sekadar final - ini belum memadai buat saya," kata Axelsen.

"Saya begitu teruja dan mahukan sangat kejayaan ini, jadi saya mungkin tidak dapat enjoy dalam perlawanan hari ini. Dalam beberapa jam saya mungkin sangat gembira dan bangga, tetapi ketika ini ia hanya satu kelegaan."

Kedua-dua pemain bertarung buat pertama kali dan corak permainan lama Cordon memberikan Axelsen masalah pada awal permainan.

"Dia mempunyai corak permainan yang tidak menentu," kata Axelsen.

"Dia sangat agresif, beraksi dengan pukulan mengelirukan dan beberapa pukulan luar biasa, tetapi dengan kualiti yang bagus. Jadi ia agak sukar buat saya untuk mengatasinya."

Cordon masih berpeluang untuk merangkul pingat kedua Olimpik buat julung kali bagi Guatemala dalam aksi penentuan pingat gangsa menentang pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting.

Juara di Rio, Chen Long berpeluang menyamai rekod legenda badminton China, Lin Dan yang memenangi kejuaraan Olimpik berturut-turut selepas menewaskan Ginting 21-16, 21-11 dalam satu lagi separuh akhir.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 6:58pm
d