Badminton

Kita patut lebih bersedia tahun depan - Choong Hann

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Prestasi pemain muda negara ketika beraksi di Piala Thomas di Aarhus, Denmark belum cukup sempurna dan banyak lagi yang perlu dipertingkatkan.

Banyak kekurangan dan itu hakikat yang perlu diterima terutama ketika menentang pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pihaknya akan berusaha menjalankan kerjasama secara lebih konferensi bersama jurulatih dan pegawai bertugas untuk mendapatkan data dan fakta yang lebih teliti untuk mengatasi segala kelemahan yang dapat dikesan sepanjang pertandingan di Piala Thomas ini.

Ia adalah cara terbaik untuk memastikan barisan muda negara seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei lebih bersedia untuk pertandingan yang lebih berintensiti tinggi selepas ini.

"Ini satu pengalaman buat mereka. Kita patut lebih bersedia untuk tahun hadapan. Letakkan sasaran yang lebih mencabar dan hala tuju pemain negara akan diumumkan selepas kami berbincang dengan pihak bertanggungjawab.

"Ini adalah perlu supaya pemain mempunyai sasaran dan apabila sampai waktu itu mereka semua sudah bersedia dari segala aspek baik dari segi perseorangan ataupun beregu," katanya.

Begitupun tegas Choong Hann, BAM sentiasa mengamal dasar terbuka tidak bermakna mereka yang beraksi di Piala Thomas ini yang akan diberi kelebihan untuk beraksi di kejohanan luar selepas ini.

"Kita akui, Tze Yong dan Jun Hao bermain dengan baik dan boleh atas lawan dengan corak taktikal mereka dan kami akan terus berusaha untuk tingkatkan lagi mutu permainan mereka.

"Tapi itu tidak bermakna pemain lain tidak mempunyai peluang dan BAM sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan mana-mana pemain yang pamerkan semangat juang kita akan bagi peluang. Apa yang penting perlu berusaha," katanya.

Aksi skuad negara di Piala Thomas terhenti di suku akhir selepas kalah kepada musuh tradisi Indonesia 0-3.

Pada aksi suku akhir, Malaysia bermula langkah kiri apabila Lee Zii Jia tewas 15-21, 17-21 kepada pemain nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah 17-21, 16-21, 15-21 kepada gandingan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Juara 13 kali Indonesia mengesahkan kemenangan menerusi Jonatan Christie yang menewaskan Ng Tze Yong 14-21, 21-19, 21-16.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 12:52pm
d