Badminton

Indonesia akhiri penantian dua dekad

Oleh BERNAMA

Aarhus, Denmark: Indonesia mengakhiri penantian selama hampir dua dekad untuk merangkul gelaran berprestij Piala Thomas 2020 apabila membenam juara bertahan China 3-0 pada perlawanan akhir di Arena Ceres, hari ini.

Kejayaan berkenaan menyaksikan Indonesia muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu apabila merangkul gelaran sebanyak 14 kali, dengan kali terakhir pada edisi 2002 di Guangzhou, China selepas menewaskan Malaysia 3-2 pada final. China pula memenangi gelaran itu sebanyak 10 kali.

Pemain perseorangan nombor lima dunia, Anthony Sinisuka Ginting mengutip mata pertama Indonesia selepas ketinggalan set pertama sebelum menyingkirkan pemain nombor 27 dunia, Lu Guang Zu 18-21, 21-14, 21-16 dalam pertarungan selama 76 minit.

"Pada set pertama, saya sedikit gementar dan Guang Zu lebih banyak memberi tekanan dan lebih agresif. Tetapi saya berjaya keluar daripada tekanan pada set kedua dan ketiga, lebih tenang dan berjaya memutarkan keadaan.

"Saya pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali sebelum ini tetapi ini merupakan pertemuan paling sukar. Sebenarnya saya bersedia untuk berjumpa dengan Shi Yu Qi dan Guang Zu kerana tidak pasti Yu Qi akan bermain hari ini selepas kecederaan semalam.

"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana mampu mengatasi tekanan dan bermain dengan baik," kata Ginting selepas perlawanan itu.

Dalam percaturan barisan pemain, Indonesia menurunkan beregu ketiga negara itu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto biarpun memiliki beregu nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan beregu nombor dua dunia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Bagaimanapun, beregu nombor tujuh dunia itu mampu melakukan kejutan apabila hanya mengambil masa 42 minit untuk menyumbang mata kedua dengan menewaskan gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong dalam straight set 21-12, 21-19.

Indonesia mengesahkan kejuaraan apabila pemain nombor tujuh dunia, Jonatan Christie berentap selama 82 minit untuk membutirkan mata kemenangan 3-0 dengan mengalahkan pemain nombor 65 dunia, Le Shi Feng, 21-14, 18-21, 21-14.

Indonesia mara ke final selepas menewaskan Malaysia 3-0 di peringkat suku akhir dan Denmark 3-1 di separuh akhir manakala China menundukkan Thailand 3-0 di suku akhir dan menumpaskan naib Jepun 3-1 di peringkat separuh akhir.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:26am
d