Badminton

Norza kecewa prestasi skuad Piala Thomas

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Walaupun menepati sasaran melangkah ke suku akhir kejohanan Piala Thomas namun secara keseluruhan prestasi dan keupayaan barisan pemain badminton negara boleh dikatakan agak mengecewakan.

Perkara itu diluahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melihat beberapa pemain harapan seperti perseorangan negara, Lee Zii Jia dan pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menepati ramalan untuk menyumbang mata kepada Malaysia.

Beliau berkata, situasi itu berlaku disebabkan rata-rata pemain gagal mempamerkan aksi konsisten selain turut 'lemau' apabila dikerah menyertai banyak kejohanan dalam tempoh singkat.

Katanya, masalah terbabit harus ditangani segera dan akan berbincang bersama Pengarah Teknikal BAM, Wong Choong Hann untuk mencari kaedah terbaik supaya barisan pemain yang diturunkan nanti lebih 'keras' terutama membabitkan mental dan fizikal.

"Lihat kepada pemain muda, isu sekarang ini adalah tidak konsisten dan kurang kekuatan fizikal apabila menyertai kejohanan Piala Sudirman, kemudiannya Piala Thomas dan seterusnya nanti Terbuka Denmark.

"Kita boleh lihat pemain perseorangan Indonesia, Jonatan Christie setiap hari bermain selama sejam untuk mengekalkan keupayaannya apabila beraksi di banyak kejohanan.

"Pada masa sama, kita akan fokus kepada sains sukan dan tempoh pemulihan supaya barisan pemain cepat pulih. Perkara itu sangat penting dan kita akan teliti kelemahan terbabit," katanya selepas menyertai mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) yang diadakan secara maya, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung di Aarhus, Denmark, skuad negara gagal mara ke separuh akhir apabila tersungkur kepada Indonesia 0-3 pada aksi suku akhir.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 6:36pm
d