Badminton

Lupakan Zii Jia, pemain lain mampu galas tugas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada gunanya terlalu memikirkan apa yang telah berlaku. Sebaiknya pemain badminton lain menonjolkan diri dan memanfaatkan situasi itu sebaiknya.

Di atas kertas Malaysia berkemungkinan sekali lagi terlepas emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England bulan depan, susulan penarikan diri jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Pada edisi sebelum ini di Gold Coast 2018, Malaysia gagal memenangi emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara itu apabila tewas kepada India 1-3.

Bagaimanapun, pemain beregu campuran berpengalaman Chan Peng Soon menyeru rakan sepasukannya supaya tidak terganggu dengan tindakan mengejut Zii Jia itu dan kekal fokus pada misi mereka di Birmingham.

Malah Peng Soon yang akan bergandingan dengan Cheah Yee See, optimis pemain lain mampu membantu pasukan negara mencapai sasaran itu pada temasya sukan yang dianjurkan setiap empat tahun itu.

"Kita tidak boleh bergantung hanya pada Zii Jia kerana kita mempunyai pemain lain terutama pemain beregu yang boleh menyumbang emas.

"Saya secara peribadi percaya Sukan Komanwel penting kerana ia dianjurkan setiap empat tahun. Ramai pemain di luar pun tidak sabar untuk bertanding di temasya sukan itu," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, hari ini.

Rabu lalu, Zii Jia menerusi sebuah video yang dikongsikan kepada media memaklumkan menarik diri daripada Sukan Komanwel kerana kesukaran menangani jadual yang padat, selain mahu memberi fokus pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22 hingga 28 Ogos ini.

Peng Soon yang juga pemenang perak Olimpik Rio 2016 itu, menekankan bahawa penting bagi mereka untuk mengungguli acara berpasukan campuran yang akan merangsang momentum pada acara individu selepas itu.

Mengenai persediaannya untuk Terbuka Malaysia 2022 minggu depan, pemain berusia 34 tahun itu berkata gandingannya bersama Yee See berjalan lancar setakat ini.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:33pm
d