Badminton

Terbuka Malaysia tiada kaitan dengan KBS

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 yang sedang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini bukan berada di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut kenyataan KBS, kejohanan itu juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta timbalannya, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Sebaliknya, menurut KBS kejohanan itu adalah anjuran badan persendirian, justeru isu berkaitan tempahan tempat duduk yang dibangkit tidak mempunyai sebarang arahan daripada pihak menteri, timbalan menteri atau KBS.

"Ia adalah hak mutlak dan tindakan sepenuhnya oleh pihak penganjur. Penjelasan ini penting agar rakyat memahami bahawa kementerian adalah pihak berkecuali dan tidak terlibat dengan sebarang keputusan yang diambil oleh pihak penganjur," menurut kenyataan KBS hari ini.

Semalam tular di media sosial mengenai keluhan pembeli tiket premium kejohanan badminton Terbuka Malaysia berkaitan isu tempat duduk Premium 306 dan 307 selepas mereka tidak dibenarkan duduk di kawasan itu kerana dikawal penganjur untuk diberikan kepada sekumpulan penonton.

Berikutan itu, KH Worlwide yang merupakan penganjur kejohanan telah memohon maaf kepada peminat yang terjejas.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 4:49pm
d