Badminton

Sze Fei-Izzuddin tempah slot separuh akhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membuatkan penyokong badminton negara kembali tersenyum apabila berjaya menempah slot separuh akhir Terbuka Malaysia sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata itu menyaksikan beregu negara terbabit berjaya menundukkan pasangan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-11,22-20 sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya.

Walaupun cuba diberi tentangan sengit pada set kedua, Sze Fei-Izzuddin dilihat tidak mudah goyah dengan terus mengekalkan momentum permainan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Sze Fei berkata, keyakinan tinggi dan persediaan rapi membantunya dan Izzuddin beraksi dengan baik seterusnya mencipta kemenangan mengatasi pasangan China itu.

"Saya tidak menjangkakan kemenangan itu namun apa yang boleh saya katakan adalah tetap fokus pada perlawanan itu terutamanya pada set kedua.

"Beraksi di depan penyokong sendiri tidak memberi tekanan malah meniup semangat untuk beraksi lebih cemerlang dan mencipta kemenangan untuk negara," katanya, ketika ditemui sebaik tamat perlawanan, sebentar tadi.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu wanita negara Teoh Mei Xing-Anna Cheong apabila tewas kepada pilihan kelima kejohanan dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 15-21,21-23.

Walaupun pasangan negara cuba memberi tentangan sengit namun pengalaman yang dimiliki beregu yang berada di ranking keenam negara itu cukup sukar digugat sekali gus memastikan mereka menempah slot separuh akhir esok.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:17pm
d