Badminton

Jonatan, Axelsen berentap di separuh akhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pertarungan separuh akhir kategori perseorangan lelaki Terbuka Malaysia yang akan berlangsung esok sudah pastinya dinantikan peminat badminton tanah air apabila menemukan dua jagoan dunia membabitkan pemain dari Denmark, Victor Axelsen dan wakil Indonesia, Jonatan Christie.

Axelsen yang juga pemain nombor satu dunia berjaya menempah tiket separuh akhir selepas menewaskan wakil dari Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 18-21,21-17 21-12 dalam tempoh sejam pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata sebentar tadi.

Christie pula yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan tidak berhadapan masalah untuk mencipta kemenangan mengatasi perseorangan dari India HS Prannoy 21-18,21-16.

Seorang lagi pemain perseorangan dari Jepun Kento Momota yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan boleh dikatakan mendapat laluan mudah apabila lawannya dari Indonesia Shesar Hiren Rhustavito menarik diri selepas mengalami kecederaan pada perlawanan set pertama.

Terdahulu, Shesar menunjukkan jalan keluar kepada pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia semalam menerusi tiga set 19-21, 21-19, 16-21 dalam aksi yang berlangsung selama 66 minit sekali gus menempah tiket ke suku akhir.

Momota dijadualkan akan bertemu pemain dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn selepas wakil dari negara jiran itu menumpaskan wakil dari China Lu Guang Zu 15-21,21-10,21-17.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 10:07pm
d