Badminton

Aaron-Wooi Yik buat penyokong cemas [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak menghampakan penyokong badminton tanah air apabila berjaya menumpaskan beregu nombor dua dunia dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebentar tadi.

Sokongan padu daripada ribuan penyokong tanah air jelas sekali memberi kekuatan tambahan kepada beregu negara yang berada di ranking keenam dunia itu untuk mencatatkan kemenangan 21-13,20-22,21-19.

Pertarungan yang berlangsung di Arena Axiata itu menyaksikan beregu negara mempamerkan aksi konsisten untuk memastikan kemenangan set pertama berpihak kepada mereka.

Namun, pasangan Indonesia yang dilihat cukup liat untuk ditumpaskan itu bangkit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Perlawanan set penentuan cukup mendebarkan namun ketenangan yang dimiliki beregu negara itu berjaya memastikan tiket separuh akhir milik mereka apabila berjaya menundukkan lawannya 21-19.

Kemenangan itu mengulangi episod penentuan pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo apabila memihak kepada Aaron-Wooi Yik.

Laluan Aaron-Wooi Yik di separuh akhir boleh dikatakan agak mencabar apabila dijadualkan bertemu pilihan kedua kejohanan dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 10:52pm
d