Badminton

Tiket Terbuka Malaysia mula dijual 5 Disember

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mula 'membuka kedai' jualan tiket Jelajah Dunia BWF Super 1000 Terbuka Malaysia bermula Isnin ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa orang ramai boleh mendapatkan tiket bermula dengan harga RM40.

"Sudah pastinya peminat badminton negara mengingati keseronokan perlawanan Terbuka Malaysia pada tahun ini. Pada 2023 pula sudah pastinya lebih rancak kerana barisan pemain badminton dunia mahu mulakan langkah mereka dengan kejayaan positif.

"Pada masa sama, pemain negara juga meletakkan sasaran untuk meraih kejayaan di pentas terbabit terutamanya dihadapan penyokong sendiri," katanya.

Mengikut rekod, Terbuka Malaysia yang akan berlangsung 10 hingga 15 Januari tahun depan kini menjadi salah satu daripada lima destinasi yang bertaraf Super 1000.

Terbuka Malaysia sebelum ini bertaraf Super 750 akan berdiri sama megah dengan empat lagi kejohanan tertinggi dalam kalendar BWF iaitu Terbuka Indonesia, China, Seluruh England dan Pusingan Akhir Jelajah Dunia yang sebelum ini dikenali sebagai Siri Super Final.

Sementara itu, Kenny berkata, juara Dunia Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan beregu wanita negara Pearly Tan dan M Thinaah akan menjadi 'daya tarikan' apabila mereka akan turun beraksi pada kejohanan terbabit.

"Sokongan padu peminat penting bagi memberi semangat kepada pemain badminton negara meraih keputusan positif kelak," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket boleh berbuat demikian dengan melayari laman web https://my.bookmyshow.com/e/PMO23JAN bermula dari 11 pagi Isnin ini.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 5:19pm
d