Badminton

Status nombor 2 dunia belum puaskan hati Zii Jia

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Status sebagai pemain nombor dua dunia yang dikecapi pada musim ini belum lagi memberi kepuasan buat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

Sebaliknya, Zii Jia sedar banyak perkara yang perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan prestasi ke tahap optimum sekali gus membuktikan kemampuan sebenar dirinya di pentas antarabangsa.

"Saya sudah pun memulakan persiapan bagi mengharungi saingan musim depan termasuklah menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk pemain profesional menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Suasana latihan dan kualiti di ABM kekal yang terbaik di negara ini dan peluang seperti ini sudah tentu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya bagi menghadapi kejohanan berpasukan pada masa akan datang," katanya yang berada dalam senarai pendek Ikon Sukan Lelaki untuk Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu berkata, dia akan menjalani kem latihan di Taiwan bersama penaja utamanya, Victor dan pemain tempatan di sana bermula dari 19 hingga 25 Disember ini sebagai persiapan menghadapi Terbuka Malaysia dari 10 hingga 15 Januari depan.

"Diharapkan saya dapat memantapkan lagi disiplin, kekuatan fizikal dan mental bagi menghadapi saingan musim 2023. Jumpa anda semua di Terbuka Malaysia 2023," katanya.

Zii Jia yang memutuskan untuk bergerak secara profesional pada Januari lalu menutup tirai kempen musim ini dengan tiga gelaran juara Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand pada Mei lalu dan Terbuka Denmark, Oktober lalu.

Bagaimanapun, dia turut mengalami detik kekecewaan apabila tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, Ogos lalu dan turut gagal melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand yang dijadual bermula Selasa ini.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 4:49pm
d