Badminton

Tze Yong rangkul gelaran pertama 2022

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akhirnya meraih gelaran pertama tahun ini dengan memenangi Cabaran Antarabangsa Bahrain, awal pagi tadi.

Bagaimanapun pemain negara yang menduduki ranking ke-27 dunia itu terpaksa bekerja keras selama 80 minit untuk menewaskan wakil Taiwan yang juga penyandang juara remaja dunia, Kuo Kuan Lin, 21-15, 20-22, 21-12 di BKS Club dekat Manama.

Hasil kemenangan itu, Tze Yong meraih AS$1,200 (RM5,200) dan turut meraih 4,000 mata ranking dunia.

Bagi Tze Yong, kemenangan itu memberikan suntikan semangat kepadanya untuk meraih pencapaian lebih cemerlang pada kempen tahun depan terutama saingan Terbuka Malaysia berlangsung dari 10 hingga 15 Januari.

"Saya berharap dapat teruskan momentum ini pada tahun depan. Saya tidak sabar untuk beraksi kejohanan Super 1000 di Terbuka Malaysia di depan penyokong sendiri," katanya.

Tze Yong mempamerkan peningkatan prestasi pada tahun ini apabila meraih pingat perak di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dia turut mara di separuh akhir Terbuka Australia bulan lalu sebelum tewas di tangan pemain China, Lu Guang Zu.

Pencapaian cemerlang sepanjang 2022 menyaksikan Tze Yong terpilih dalam senarai lima atlet terbaik kategori Ikon Sukan Harapan untuk Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Proses undian pusingan kedua membabitkan 'top 5' bagi setiop lapan kategori sudah bermula sejak 1 Disember lalu sehingga 25 Disember ini.

Orang ramai yang ingin mengundi boleh mendapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 4:30pm
d