Badminton

Hanya Zii Jia hadir latihan di ABM setakat ini

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dilihat satu-satunya pemain yang menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, setakat ini.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones berkata, beberapa pemain perseorangan tidak dapat mengikuti latihan di ABM kerana bertembung dengan agenda mereka sendiri pada masa ini.

"Sebilangan pemain perseorangan memilih untuk beraksi dalam lebih banyak kejohanan pada awal 2023, jadi latihan ini tidak sesuai dengan rancangan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagaimanapun, Jones berkata, mereka telah menerima permintaan daripada pemain perseorangan wanita kelima negara Kasturi Radhakrishnan, yang memenuhi kriteria untuk berlatih di akademi itu.

"Kami sedang berkomunikasi (dengan Kasturi), jadi diharapkan beliau akan hadir tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, bekas ahli fisiologi kanan Institut Sukan Negara (ISN) itu berkata, beliau gembira melihat pemain nombor dua dunia, Zii Jia membuat kejutan kembali ke ABM, Sabtu lalu dan berharap trend ini akan berterusan pada masa hadapan.

"Saya fikir bagus dapat melihat pemain terbaik negara ini dapat bermain bersama-sama (pemain lain), situasi ini boleh menjadi perkara yang baik untuk badminton Malaysia," katanya.

Semalam, media melaporkan Zii Jia menghabiskan masa dua jam di ABM dan menyertai perlawanan dengan pemain BAM seperti Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Sementara itu, bagi pemain beregu, Jones berkata, mereka tidak akan memulakan sesi latihan bersama di ABM sehingga Rosman Razak mengambil alih jawatan daripada Chin Eei Hui sebagai jurulatih beregu profesional, tidak lama lagi.

Antara gandingan profesional yang akan menyertai sesi latihan ialah beregu lelaki nombor lapan dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Bulan lalu, BAM membuka pintu kepada pemain profesional negara untuk menghadiri sesi perlawanan mingguan di ABM.

BAM menyatakan hanya pemain perseorangan profesional yang berada dalam kedudukan 50 terbaik dan beregu dalam ranking 30 terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang layak menghadiri sesi itu manakala lima pemain terbaik Malaysia mungkin akan dipertimbangkan.

Disiarkan pada: December 5, 2022 @ 7:22pm
d