Badminton

Laluan sukar buat Tan-Thinaah di Final Jelajah Dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Laluan sukar menanti beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Final Jelajah Dunia dekat Bangkok, Thailand bermula esok sehingga 11 Disember.

Ia selepas beregu nombor satu negara itu diundi dalam Kumpulan B bersama-sama dua wakil China iaitu juara dunia tiga kali dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan serta pasangan nombor tujuh Dunia, Zhang Shu Xian-Zheng.

Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Perancis, Oktober lalu juga akan berdepan pemenang pingat emas Sukan Sea 2022, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Satu lagi beregu profesional wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula diletakkan dalam kumpulan A bersama dua wakil tuan rumah, Benyapa-Nuntakarn Aimsaard serta Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui Pearly-Thinaah berdepan tugasan sukar di Bangkok.

"Undian cukup berat buat Pearly dan Thinaah, tetapi saya harap dengan prestasi mereka sejak kebelakangan ini, mereka dapat bersaing dengan tiga pasangan terbaik dunia dalam kumpulan mereka," katanya.

Sementara itu peluang tampak lebih baik buat dua pasangan negara dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila tidak diundi dalam satu kumpulan yang sama.

Aaron-Wooi Yik diundi dalam Kumpulan B bersama-sama lawan yang mereka tewaskan di final Kejohanan Dunia, Tokyo, Ogos lalu iaitu pasangan veteran Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.Selain pasangan veteran Indonesia itu yang juga pilihan kedua kejohanan.

Aaron-Wooi Yik turut berdepan cabaran beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi serta gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

"Untuk Aaron dan Wooi Yik pula, saya harap mereka juga dapat melepasi peringkat kumpulan," kata Rexy.

Dua lagi wakil negara dalam acara beregu campuran juga turut berdepan laluan mencabar apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai akan bertemu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China; juara Eropah, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis serta pemenang pingat emas sukan Sea 2022, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia dalam Kumpulan A.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula bakal bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China dalam Kumpulan B bersama-sama wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dan penyandang juara, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 2:21pm
d