Badminton

Kian Meng-Pei Jing lakar kejutan di Bangkok

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakar kejutan apabila menang ke atas pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping 23-21, 14-21 21-16 dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Kemenangan itu pastinya menyuntik semangat buat Kian Meng-Pei Jing dan satu permulaan sempurna buat beregu kelapan dunia itu yang belum pernah menang ke atas Yi Lyu-Dongping yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam aksi di Arena Nimibutr.

"Kami sangat gembira. Ini adalah kali pertama kami berjaya menewaskan mereka dari tujuh perlawanan sebelum ini. Sudah tentu ia satu yang cukup menggembirakan.

"Saya berharap, kami dapat mengekalkan momentum untuk perlawanan seterusnya di kejuaraan ini," katanya Pei Jing.

Mengulas mengenai corak permainannya hari ini, Kian Meng berkata corak permainan mereka berjalan seperti yang dirancang dengan semua strategi yang digunakan menjadi.

Untuk rekod Kian Meng-Pei Jing tidak pernah menang ke atas lawan yang menghuni ranking keempat dunia itu apabila tewas dalam semua tujuh pertemuan sebelum ini.

Menanti Kian Meng-Pei Jing selepas ini pasangan nombor satu dunia yang juga juara bertahan, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand untuk aksi kedua peringkat kumpulan, esok.

Sementara itu, hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk merangkul kemenangan pertama tidak berhasil apabila tewas dalam aksi pertama Kumpulan B di tangan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Juara Terbuka Perancis itu terpaksa akur dengan kekalahan 21-23, 19-21 kepada Rahayu-Siti Fadia.

Mereka seterusnya akan berdepan juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada aksi kedua kumpulan esok.

"Saya harap kami akan bangkit esok dan lebih fokus esok. Hari ini permainan tidak seperti yang diharapkan. Saya juga kurang dengan beberapa pukulan saya," kata Thinaah.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sin tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 18-21-13-21 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Perlawanan kedua esok menyaksikan mereka dijadual bertemu beregu Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 4:58pm
d