Badminton

Gagal matikan pukulan lawan punca beregu wanita tewas

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Masalah untuk mematikan pukulan lawan dilihat menjadi punca beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tersingkir awal dalam dua kejohanan berturut-turut bulan ini.

Masalah itu diakui sendiri, jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How yang melihat senjata pemusnah seolah sudah hilang dari gandingan itu sambil memberitahu kesilapan mudah yang dilakukan Pearly meranapkan impian mereka untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Switzerland.

"Apa yang saya lihat dalam dua kejohanan ini, serangan mereka tidak berjaya mematikan lawan. Apabila lawan pula yang melakukan serangan, mereka hanya bertahan tanpa idea, semata-mata mengembalikan bola (bulu tangkis) saja sekali gus memudahkan lawan matikan mereka.

"Selain itu, banyak sangat kesilapan sendiri yang dilakukan mereka…saya tengok Pearly bermain semalam, banyak buat kesilapan sendiri, lawan tidak matikan kita sebaliknya kita sendiri yang beri mereka mata mudah," katanya.

Terdahulu, misi Pearly-Thinaah merampas kembali kejuaraan Terbuka Switzerland yang dimenangi pada 2021 disekat beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun apabila tunduk di tangan lawan itu 15-21, 21-14, 16-21 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Basel, awal pagi tadi.

Di sebalik kekalahan Pearly-Thinaah, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menceriakan kem badminton negara apabila masing-masing melangkah ke pusingan kedua saingan beregu lelaki di Basel.

Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan pertama kembali bangkit daripada 'mimpi ngeri' tewas di pusingan pertama Seluruh England, minggu lalu apabila menewaskan wakil tuan rumah, Arthur Boudier-Pham Minh Quang 21-10, 21-10 manakala Ee Yi-Yew Sin Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland 22-20, 21-13.

Aaron-Wooi Yik akan dijadual bertemu beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Sato manakala Ee Yi-Yew Sin pemenang perlawanan antara pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana dengan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Dalam pada itu, Thien How turut menggesa agar anak buahnya itu bangkit kembali fokus sepenuhnya untuk memperbaiki prestasinya terutama menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 1 Mei depan.

"Apa yang paling penting sekarang adalah untuk mengembalikan permainan sebenar dan tahap keyakinan mereka. Untuk mendapatkan keyakinan semula, mereka perlu menang," ujarnya.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 8:44pm
d