Badminton

Zii Jia mara suku akhir

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menempah slot suku akhir Terbuka Switzerland selepas berjaya menumpaskan Nhat Nguyen sebentar tadi.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua mengambil masa selama 51 minit menyingkirkan lawan dari Republik Ireland itu dengan kemenangan straight set 21-15, 21-19.

Menantinya di suku akhir esok ialah pemenang di antara wakil India, Mithun Manjunath dan Lee Chia Hao dari Taiwan.

Bagaimanapun, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal untuk mengikut langkah Zii Jia apabila tumpas kepada pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan utama bermula dengan baik namun tidak dapat meneruskan rentak sebelum tumpas 21-17, 16-21, 17-21.

Berbeza dengan beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila berjaya menempah slot suku akhir selepas mengalahkan satu lagi pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan pilihan ketiga tidak berdepan masalah mengalahkan pasangan dari peringkat kelayakan itu 15-21, 21-13, 21-15.

Mereka menanti pemenang di antara wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dan pilihan keenam dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berjaya mengalahkan He Ji Ting-Du Yue 11-21, 21-14, 21-14.

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir ialah pemenang di antara pilihan kelapan dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek dan Terry Hei-Jessica Tan (Singapura).

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 10:03pm
d