Badminton

Aaron ambil pendekatan 'kunci mulut'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Antara tidak konsisten atau mempunyai masalah lain menyebabkan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sejak kebelakangan sering mempamerkan aksi tidak menentu dengan terbaharu tersungkur pula di pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel malam tadi.

Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 21-17, 16-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Keputusan itu juga menyaksikan beregu negara mengalami kekalahan kedua kepada beregu di ranking ke 25 dunia berkenaan pada musim ini selepas turut tewas pada pusingan kedua Terbuka Jerman dua minggu lalu.

Berikutan prestasi tidak menentu itu, Aaron mengambil pendekatan untuk mengunci mulut berhubung kekalahan terbaharu itu dengan mahu membuktikan kemampuan apabila menampilkan aksi terbaik pada kejohanan akan datang.

"Sebenarnya, bagi saya tidak ada apa-apa yang mahu diulas kerana apabila bercakap selepas kalah seperti ini, seolah-olah macam berikan alasan. Apabila kalah, cakap apa-apa pun salah.

"Apa yang perlu saya dan Wooi Yik lakukan adalah cuba untuk pamer kebangkitan serta kembali mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan, itu paling penting," katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan mudah menewaskan beregu tuan rumah, Arthur Boudier-Minh Quang Pham menerusi aksi straight set 21-10, 21-10 di pusingan pertama Rabu lalu.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik masih belum merangkul sebarang gelaran pada saingan musim ini dengan pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada kejohanan Terbuka India Januari lalu.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 3:10pm
d