Badminton

Chong Wei geng plastik hitam

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Siapa sangka legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei merupakan salah seorang geng plastik hitam di bulan Ramadan.

Perkara itu didedahkan oleh Chong Wei dalam hantaran terkini di Facebooknya yang menggunakan tanda pagar #PapaGengPlastikHitam selepas ditanya anak sulungnya, Kingston Lee berkenaan penggunaan plastik hitam di bulan Ramadan.

Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara mengejutkan apabila Chong Wei menyatakan dia seorang 'geng plastik hitam' yang sinonim dengan individu yang tidak berpuasa pada Ramadan memandangkan dirinya bukanlah beragama Islam.

Selain plastik hitam, Chong Wei turut ditanya anaknya berkenaan asal usul nama juadah popular di bazaar Ramadan iaitu Roti John.

"Kingston: Papa .. kenapa roti sedap tu nama dia Roti John eh? Xleh Roti Ahmad, Roti Muthu , Roti Flying Dragon to the Sea atau Roti Kagebunshinojutsu ke ?

"Dan juga, kawan Melayu baru aku Rifqi suh standby plastik hitam .. derang (mereka) kata standby je, rasanya tak perlu pakai".

"Saya: (alamak …soalan cepumas sekali lagi ni..tapi tersenyum gak) " Ko betul gila komik sekarang eh.. Roti Kagebunshinojutsu.. ptuih… dan pasal plastik hitam tu, papa tak tahu. Tolong tidur now," tulis Chong Wei.

Dalam hantaran berkenaan, Chong Wei turut menasihatkan anak-anaknya supaya bertolak ansur dengan kawan-kawan mereka yang beragama Islam sepanjang Ramadan.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 4:27pm
d