Bola Sepak

Arif Aiman tidak mahu tenggelam dengan pujian

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bintang muda bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi percaya tindakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikannya sebagai pemain gantian pada permulaan babak kedua menentang Vietnam Jumaat lalu disebabkan minit permainan yang banyak diraih olehnya.

Walaupun usianya baharu 18 tahun, Cheng Hoe ternyata cukup berani mempertaruhkan kelibat Arif ketika masih terdapat beberapa pemain senior yang boleh diturunkan dalam aksi penting sebesar itu.

Bagaimanapun, Arif membuktikan sebaliknya apabila berjaya membawa impak berbeza malah jentera serangan negara dilihat lebih bernafsu selepas kemasukan tonggak sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

"Semasa dalam Liga-M (Liga Malaysia), saya dapat banyak minit permainan dengan JDT dan di liga juga saya dapat keyakinan untuk bawa ke sini selain jurulatih memberi peluang untuk bermain dalam pasukan kebangsaan," katanya yang mula menyertai Akademi JDT pada 2018.

Untuk rekod, bakatnya mula dikesan ketika menyertai program rancangan realiti MyKids musim 2012 sebelum diserap menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dikendalikan Lim Teong Kim.

Di bawah sistem latihan yang bersistematik, Arif berjaya menyertai skuad utama NFDP atau lebih dikenali sebagai skuad generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk beraksi bersama penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin.

Bersama Akademi JDT, bakat Arif terus digilap dan dia berjaya mengetuk pintu skuad utama Harimau Selatan pada musim 2020.

Aksinya mencuri perhatian pada 13 Mac lalu apabila meledak gol pertama musim ini ketika menentang UiTM FC menerusi satu gerakan solo yang menarik disamping turut mencatat sebagai penjaring termuda pasukan dalam Liga Super pada usia 18 tahun 10 bulan untuk memecahkan rekod Hadin Azman yang melakukannya pada 2013 di usia 18 tahun 11 bulan.

Prestasinya terus cemerlang apabila kerap diturunkan dalam kesebelasan utama dan berjaya merekodkan 824 minit permainan dalam 12 aksi musim ini, sekali gus menarik Cheng Hoe untuk menyenaraikannya dalam senarai pasukan ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika ini.

Ditanya mengenai pujian melangit penyokong tempatan terhadap dirinya, pemain kelahiran Pahang itu mengakui tidak akan tenggelam dek perhatian itu sebaliknya akan dijadikan pembakar semangat bagi meningkatkan tahap permainannya.

"Saya tak ambil pujian itu untuk saya cepat berpuas hati atau untuk bangga diri sebab saya masih muda. Saya harap penyokong tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana perjalanan saya masih jauh," kata 'wonder kid' terbaru Liga M itu.

Disiarkan pada: June 15, 2021 @ 7:37pm
d