Bola Sepak

Skuad Harimau Malaya selamat tiba di tanah air

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas hampir tiga minggu di negara Asia Barat, skuad Harimau Malaya akhirnya selamat tiba di tanah air tengah hari tadi dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, selepas mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 secara berpusat di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun lalu.

Terdahulu pesawat sewa khas Malaysia Airlines Harimau Malaya singgah di Bangkok untuk menurunkan 13 pemain negara yang akan menyambung pula tugasan kelab bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021.

Manakala bagi lapan pemain dan barisan kejurulatihan serta pengurusan pula meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, baki lima lagi pemain yang berpangkalan di luar negara sudah pulang lebih awal sebaik aksi terakhir menentang Thailand berakhir kelmarin.

Ia membabitkan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools dan Luqman Hakim Shamsudin yang pulang ke Belgium, manakala Liridon Krasniqi terbang ke Jerman bersama keluarganya.

Dua lagi tonggak Dominic Tan dan Junior Eldstal yang beraksi di Thailand pulang ke destinasi masing-masing secara berasingan.

Lapan pemain dan pegawai yang pulang ke tanah air akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Pada kempen di UAE, skuad Harimau Malaya sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga di belakang tuan rumah dan Vietnam serta Thailand dan Indonesia di tempat ke empat dan kelima.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 6:46pm
d