Bola Sepak

Khalid sokong TMJ ambil alih Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Khalid Ali menyokong sekiranya pengurusan skuad Harimau Malaya diberikan kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetapi dengan bersyarat.

Katanya, Tunku Ismail adalah individu tepat bagi mengendalikan skuad negara berdasarkan kepada kejayaan bersama skuad Harimau Selatan selain memiliki kekuatan kewangan, ilmu pengurusan bola sepak yang tinggi dan mampu menyediakan fasiliti terbaik.

Bagaimanapun, Khalid meletakkan dua syarat antaranya program pembangunan perlu diteruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa mengganggu Tunku Ismail serta mengetatkan kriteria calon tonggak naturalisasi yang benar-benar berkualiti sahaja untuk mewakili negara.

"Tiada orang lain yang sesuai untuk bawa skuad Harimau Malaya ketika ini melainkan Tunku Ismail. Beliau ada segala-galanya dan paling penting bijak pasal bola sepak.

"Tapi saya tidak mahu FAM bagi semuanya kerana FAM ada tanggungjawab sendiri. Mereka kena buat pembangunan dengan melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang bagus.

"Saya lihat pemain yang ada sekarang (dalam skuad Harimau Malaya) boleh main mungkin lagi tiga hingga empat tahun sebelum mereka bersara. Jadi kita kena ada pelapis yang berkualiti dan jangan harap sangat kepada pemain naturalisasi.

"Kalau nak kata AMD (Akademi Mokhtar Dahari) saja untuk pembangunan pemain muda, bagi saya tak cukup. Di AMD mungkin boleh keluar sorang atau dua sahaja pemain yang sama 'level' macam Luqman Hakim Shamsudin, tapi sebenarnya kita nak lebih ramai lagi.

"Banyakkan program akar umbi seperti program Mencari Ramli, Soccer Kids atau liga-liga di setiap negeri untuk cungkil pemain. Kita kena ingat juga, Tunku Ismail pun kalau nak berjaya dengan pasukan kebangsaan perlu dibekalkan pemain berkualiti.

"Bukan saja Tunku Ismail, kalau kita bawa jurulatih hebat dari Brazil atau England pun, kalau pemain tak berkualiti, kita takkan ke mana-mana. Dalam hal ini, FAM kena ucap terima kasih kepada Tunku Ismail yang ambik berat pasal pasukan" katanya kepada Arena Metro.

Semalam, Arena Metro melaporkan FAM bersedia memperhalusi tawaran Tunku Ismail menguruskan skuad kebangsaan pada saingan antarabangsa akan datang.

Jelas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, perkara itu akan diperhalusi sebaiknya mengikut tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sebarang keputusan.

Selain itu, Khalid yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya yang berjaya meraih tiket ke Sukan Olimpik 1980 mahu badan induk bola sepak negara itu tidak sewenang-wenangnya memberi kerakyatan kepada pemain import.

"Kena ambil yang betul-betul ada kualiti. Sebab akhirnya kalau tak menjadi (prestasi pemain naturalisasi tidak capai tahap diharapkan), FAM juga akan dipersalahkan.

"Boleh ambik naturalisasi tapi ambil yang baguslah," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 1:59pm
d