Bola Sepak

JDT II pastikan KUFC pulang hampa

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menghadirkan mimpi ngeri buat Kelantan United FC (KUFC) selepas berjaya menewaskan pasukan itu 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Dua gol jaringan pemain import JDT II, Fernando Rodriguez membolehkan skuad kendalian Rafael Gil Sanchez naik ke tangga kelima selepas mengumpul 19 mata sekali gus memintas KUFC dengan perbezaan jaringan.

Tuan rumah yang menguasai perlawanan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-15 selepas bola sepakan lintang Muhamad Alif Abdul Mutalib daripada posisi sayap kiri mudah ditanduk kemas Rodriguez menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Peluang terbaik pelawat mencipta gol penyamaan hadir pada minit ke-23 selepas bola sepakan percuma kapten Badhri Radzi memerangkap benteng pertahanan JDT II namun Mohamad Fazrul Amir Zaman yang menyusup ke dalam kotak penalti gagal melakukan penyudah tetap selepas penjaga gol, T Shaheewaran pantas menghalang.

Rodriguez nyaris menambah jaringan kedua buat JDT II pada minit ke-36 selepas bertindak melencong bola ke penjuru kiri gawang namun hanya sedikit terkeluar ketika Mohammad Fikri sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, serangan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-60 selepas Muhamad Alif sekali menjadi perancangan utama apabila bola sepakan lintang tepat kepada Rodriguez yang menanduk bola masuk menewaskan Mohammad Fikri buat kali kedua.

JDT II menambah derita KUFC pada minit ke-85 selepas Mohammad Aliff bertindak solo berjaya melepasi kawalan pemain pertahan pelawat sebelum menolak bola mudah menewaskan Mohammad Fikri bagi memastikan kemenangan 4-0 menewaskan kelab dari Kelantan itu.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 11:29pm
d