Bola Sepak

Lille juara Piala Super Perancis

Oleh AFP

Tel Aviv: Pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino memulakan musim 2021/22 dengan langkah kiri selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Ligue 1, Lille dalam aksi Piala Super Perancis, awal pagi tadi.

Rembatan cantik Xeka dari luar kotak penalti pada babak pertama mengecewakan PSG yang hanya kurang satu mata di belakang Lille yang menjuarai gelaran liga musim lalu.

"Kami menunjukkan kemampuan sebenar dan kami berhak menjulang trofi ini,'' kata Xeka.

"Beberapa bulan selepas meraih liga, kini kami meraikan kemenangan terbaru. Kerja keras kami berhasil dan momentum ini akan diteruskan.''

PSG yang menjuarai Piala Super Perancis lapan kali sebelum ini beraksi tanpa Kylian Mbappe, Neymar, Angel di Maria selain bintang pertahanan baru mereka Sergio Ramos dan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

Pemain tengah, Idrissa Gueye masih menjalani kuarantin selepas positif Covid-19 manakala aksi pertama Georginio Wijnaldum yang berpindah dari Liverpool menerusi yuran percuma tidak mengecewakan selepas masuk sebagai pemain gantian ketika permainan berbaki 20 minit.

Lille pula menurunkan skuad terkuat dengan jurulatih baharunya, Jocelyn Gourvennec berterimakasih kepada pengendali sebelum ini, Christophe Galtier dan berkata kemenangan mereka juga hasil sentuhan Galtier.

"PSG bermain dengan taktikal hebat tetapi pemain kami sudah bersedia menghadapi mereka. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan,'' katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 7:21am
d