Bola Sepak

Perak kian tenat, bekas pemain sedia bantu percuma

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Prestasi buruk Perak FC dalam saingan Liga Super menimbulkan rasa kebimbangan di kalangan beberapa bekas pemain yang tidak mahu melihat skuad The Bos Gaurus terjurumus ke Liga Perdana musim depan.

Lantas, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, beberapa bekas pemain berkenaan secara terbuka meluahkan hasrat untuk membantu pasukan secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa bayaran.

Bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia (Liga M) musim 2002, Khalid Jamlus antara yang bersedia menurunkan ilmu terutama kepada penyerang Perak yang dilihat agak bergelut di depan gawang lawan.

Menurut Khalid, dia menawarkan diri kerana mahu melihat anak didik Chong Yee Fatt kembali di landasan sebenar sekaligus mengelak daripada tersingkir ke divisyen dua musim depan.

Untuk rekod, Perak antara pasukan di Liga M yang tidak pernah jatuh ke divisyen bawahan sejak sistem liga diperkenalkan pada 1994 di mana pasukan ini sentiasa bersaing di kancah liga utama negara setiap musim.

"Saya sudi menurunkan ilmu tuk (untuk) pemain-pemain penyerang Perak tuk baki perlawanan yang ada dengan 'free'. Aku nak Perak 'come back in the track'. Saya akan bantu dengan penuh keikhlasan. "Kalu (kalau) sudi berikan aku peluang, aku cuba bantu pertajamkan penyerang yang sedia ada tuk baki perlawanan ini...tanpa bayaran,"katanya di laman sosial semalam.

Nada sama turut diluahkan seorang lagi bekas tonggak pertahanan Perak, Azmeer Yusoff yang turut mahu membantu juara Liga Perdana (kini dikenali Liga Super) pada 2002 dan 2003 itu secara percuma.

"Saya sudi bantu Perak FC tanpa sebarang bayaran," katanya yang mungkin boleh menyumbang pengalaman bersama barisan pertahanan pasukan yang ketika ini teruk dibolosi dengan 31 gol sepanjang 16 aksi Liga Super musim ini.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain skuad Kejor Yob Kejor, Tuah Iskandar hanya mampu menitipkan doa agar pasukan yang diwakilinya dari 2013-2015 itu dapat bangkit semula.

"Aku hanya mampu berdoa agar Perak tidak jatuh liga. Saudara Azmeer dan Khalid Jamlus bantulah negeri Perak tercinta," kata Tuah yang membuat 55 penampilan bersama pasukan itu selama tiga musim.

Ketika ini, Perak berada dalam zon bahaya apabila menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan 13 mata, dan berbaki enam aksi sebelum ditamatkan.

Bekas juara Piala Malaysia sebanyak lapan kali itu harus bangkit dengan wajib mencatat kemenangan dalam aksi berikutnya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 12:03pm
d