Bola Sepak

Bekas pemain Selangor dapat bakul makanan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bagi meringankan beban bekas pemain bola sepak tempatan yang terkesan, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Bakul Makanan yang diedarkan terutamanya yang pernah menyarung jersi Red Giants dan skuad Piala Emas Raja-Raja Selangor.

Program yang turut mendapat kerjasama Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS) bersama PAS Selangor menyaksikan ramai bekas pemain ternama berjaya dibantu termasuk Shahrin Majid, Shahril Arshad, Ahmad Khair Zaman, Malek Rahman, Asrof Hanafiah, Amir Hakim Haron dan beberapa pemain lagi.

Menurut Setiausaha Kehormat PBSMM, Mohd Nizam Hashim, sebanyak 70 bakul berjaya disediakan untuk disumbang kepada bekas pemain berkenaan.

"Program ini salah satu usaha persatuan untuk membantu bekas-bekas pemain yang terkesan dari pandemik Covid-19 ini. Program ini juga mendapat sokongan sepenuhnya dari Pas Selangor.

"Kita harap ia sedikit sebanyak meringankan beban bekas pemain di mana ada di antara mereka adalah jurulatih pasukan peringkat belia dan komuniti. Disebabkan pandemik ini, kebanyakan pertandingan peringkat belia dan komuniti tidak dapat dijalankan dan ia sekaligus menyebabkan ada antara mereka yang terkesan kerana tidak dapat bekerja," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Presiden PBSMM yang juga Naib Presiden FAM, Firdaus Mohamed serta Timbalan Presiden PBSMM, Datuk Ramlan Askolani.

Jelas Nizam lagi, memandangkan negeri Selangor masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), baki bakul makanan itu akan dihantar ke rumah bekas pemain yang tidak dapat hadir ke majlis yang berlangsung di Pusat Sukan Challeger, Ampang, Sabtu lalu.

"Untuk makluman memandangkan Selangor masih dalam PPN, program di Ampang itu hanya dihadiri sebahagian pemain untuk menerima sumbangan bakul makanan dan yang lain-lain akan dihantar ke rumah masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 1:55pm
d