Bola Sepak

Stadium Shah Alam berwajah baharu musim depan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas terpaksa 'menumpang' selama dua musim berturut-turut, akhirnya Selangor FC mampu menarik nafas lega apabila bakal kembali menggunakan Stadium Shah Alam selewat-lewatnya pertengahan musim depan.

Menerusi laporan media tempatan, venue keramat skuad Red Giants itu bakal berwajah baru apabila kerja-kerja naik taraf kemudahan di Stadium Shah Alam akan dimulakan awal tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek menaiktaraf stadium berkenaan menelan belanja sehingga RM350 juta yang akan diusahakan secara bersama dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang turut berperanan sebagai pengerusi Selangor FC.

"Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya, penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.

"Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya," katanya yang pernah menjadi pengurus pasukan Selangor hingga membawa kejayaan memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Musim lalu, Selangor FC terpaksa melupakan Stadium Shah Alam bagi mengharungi baki Liga Malaysia (Liga M) selepas masalah kerosakan bumbung venue itu belum sempat dibaik pulih.

Malah, gergasi Merah Kuning terpaksa beraksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi baki perlawanan liga musim lalu.

Situasi sama terpaksa dilalui pada musim ini apabila stadium keramat bagi Selangor FC itu kemungkinan mengambil masa agak lama untuk diperbaiki sekali gus pasukan terbabit terpaksa menumpang dengan memilih Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya musim ini.

Disiarkan pada: August 22, 2021 @ 9:40pm
d