Bola Sepak

Skuad wanita negara mula langkah kiri

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Hasrat skuad bola sepak wanita Malaysia untuk membuka kempen Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila tewas 0-4 di tangan Thailand di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin, sebentar tadi.

Thailand yang menduduki tangga ke-39 ranking Fifa nyata berada pada kelas tersendiri apabila menguasai sepenuhnya aksi terbabit dengan penjaga gol skuad Gajah Perang dilihat lebih banyak berehat berbanding Azurin Mazlan yang cukup sibuk.

Skuad Malayan Tigres yang dibimbing Jacob Joseph gagal memberi tentangan sepanjang 90 minit permainan, malah kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah sekali gus dimanfaatkan sebaiknya oleh penyerang lawan.

Thailand yang sudah dua kali layak ke Piala Dunia 2015 dan 2019 membuka tirai gol seawal minit pertama menerusi Kanyanat Chetthabutr, sebelum Nutwadee Pram-nak menambah gol kedua selang dua minit kemudian untuk mengejutkan kem negara.

Kanyanat sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring di minit ke-37 selepas mudah menolak masuk hantaran rakan sepasukan untuk menewaskan Azurin buat kali ketiga.

Skuad negara yang berada di kedudukan 92 dunia tampil lebih kemas pada babak kedua dengan Azurin cemerlang menyelamatkan percubaan-percubaan merbahaya lawan.

Pertukaran strategi dengan meletakkan lebih ramai pemain di kubu negara jelas menyukarkan lawan menambah gol, namun kelalaian di minit akhir menyaksikan Kanyanat melakar hatrik untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Thailand.

Selepas ini, skuad negara dijadual menentang Palestin pada aksi terakhir kumpulan Rabu ini di venue yang sama.

Untuk rekod, juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun depan yang akan dilangsungkan di India.

Disiarkan pada: September 19, 2021 @ 10:47pm
d