Bola Sepak

FAM tolak bantahan Kelantan FC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Usaha The Red Warriors (TRW) mengemukakan bantahan berhubung keputusan pengadil ternyata sia-sia apabila tiada tindakan susulan diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan situasi berkenaan.

Menerusi peraturan perlawanan segala keputusan pengadil adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak untuk tindakan lanjut.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Saifuddin Abu Bakar berkata, berhubung bantahan yang dikemukakan TRW, pihaknya mendapat tiada sebarang isu untuk meneruskan siasatan termasuklah mengambil tindakan susulan terhadap pengadil.

Katanya, TRW seharusnya membuat aduan kepada FAM berkaitan perkara itu dan pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk memperbaiki mutu pengadilan supaya perkara sama tidak berulang.

"Pertama, kita tengok undang-undang perlawanan yang mengatakan keputusan pengadil adalah muktamad dan tak boleh dipertikaikan. Isu Kelantan ini tiada kes dan akan pulangkan kembali wang mereka.

"Jika mereka buat aduan, kita akan bawa kes berkenaan ke Jawatankuasa Pengadil FAM untuk siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

"Saya bukannya kata tak boleh buat bantahan namun jika kita lihat ada kesalahan seperti menurunkan pemain yang sudah dikenakan kad merah sebelum ini, situasi berkenaan boleh dipertimbangkan untuk tindakan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini beberapa keputusan pengadil yang didakwa menyebabkan Kelantan FC secara rasmi menghantar surat bantahan kepada FAM bagi tindakan lanjut.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan TRW, surat bantahan itu dikemukakan bagi membolehkan satu siasatan dalaman dapat dilakukan terhadap pengadil yang didakwa gagal mengendalikan perlawanan dengan baik ketika Kelantan FC berdepan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada 30 September lalu.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan pengadil dikatakan membuat keputusan salah apabila dua kali memberi sepakan penalti terhadap pasukan Sabah FC.

Pengadil perlawanan iaitu Fitri Makson menghadiahkan dua sepakan penalti masing-masing pada minit ke 32 dan 79 yang kemudiannya disudahkan dengan cukup sempurna oleh Risto Mitrevski yang mengambil sepakan itu dua kali.

Dua gol TRW pula dihasilkan Natanael Siringo Ringo minit 38 dan satu lagi menerusi Muhammad Haziq Mohd Subri minit 69.

Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 4:41pm
d