Bola Sepak

Uzbekistan mudah jinakkan Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mengakhiri dua aksi persahabatan di Amman, Jordan dengan dua kekalahan dan keputusan terbaharu menyaksikan skuad negara tumbang 1-5 di tangan Uzbekistan malam tadi.

Bagaimanapun, kekalahan kepada Uzbekistan ini sememangnya sudah dijangka dari awal namun terdapat beberapa perkara positif yang diperagakan skuad kendalian Tan Cheng Hoe berbanding ketika tewas kepada Jordan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman di Jordan itu, Cheng Hoe melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika tewas 0-4 kepada Jordan, Rabu lalu.

Paling mencuri tumpuan pastinya kemunculan penyerang muda sensasi negara yang beraksi bersama KV Kortrijk di Liga Belgium, Luqman Hakim Shamsudin apabila buat pertama kali disenaraikan dalam kesebelasan awal dengan mengorbankan tonggak naturalisasi, Guilherme de Paula di bangku simpanan.

Uzbekistan yang berada di ranking ke-84 dunia bermula garang apabila percubaan Eldor Shomurodov yang beraksi di Seria A bersama AS Roma hampir mengejutkan benteng negara namun rembatannya sedikit tersasar pada minit kesembilan.

Anak buah Srecko Katanec jelas mengamalkan permainan mudah menerusi hantaran pendek satu dua yang kerap memerangkap benteng negara dan akhirnya Dostonbek Khamdamov mudah menghukum melalui gol pertama selepas memanfaatkan hantaran lintang Farrukh Sayfiev di minit 17.

Khamdamov sekali lagi mencetak nama selaku penjaring dengan gol kedua pada minit ke-29 dengan kali ini pemain sayap kelab Pakhtakor Tashkent itu menggunakan kepala menanduk masuk hantaran Jaloliddin Masharipov.

Empat minit kemudian gawang negara bolos lagi dengan kali ini giliran Khusayin Norchaev untuk meletakkan pasukannya selesa memimpin perlawanan.

Biarpun ketinggalan tiga gol, semangat pemain negara tidak luntur apabila sebaliknya kembali menyusun permainan dengan mula mengancam kubu lawan menerusi gerakan Luqman dan Faizal Halim.

Menuju hujung babak pertama, Baddrol Bakhtiar mengejutkan benteng Uzbekistan apabila bijak memanfaatkan bola percubaan Faizal yang terkena tiang sebelum singgah di kakinya untuk merapatkan kedudukan 1-3.

Pasukan dari Asia Tengah itu memulakan separuh masa kedua dengan rentak yang sama dengan mendominasi perlawanan untuk menekan benteng negara.

Malaysia yang dalam rangka persiapan untuk menghadapi Piala AFF Disember ini tampil lebih berdisiplin di bahagian pertahanan dan tengah apabila berjaya menyerap asakan lawan dari setiap sudut.

Begitupun pemain gantian, Ibrokhimkhalil Yuldashev berjaya menambah gol keempat buat Uzbekistan di minit ke-68 selepas dia bijak melepasi tiga pertahanan sebelum Azizbek Amanov menambah derita dengan gol kelima di hujung babak permainan.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 1:14am
d