Bola Sepak

3 pemain muda aset skuad B-23, senior negara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney akan mengadakan perbincangan bersama jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memastikan tiga pemain muda tidak terlalu 'dikerah' ketika turun beraksi bersama pasukan kelak.

Pemain berkenaan ialah Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Quentin Cheng yang kemungkinan akan dipanggil oleh Cheng Hoe untuk mengharungi saingan Piala AFF dijadualkan berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari tahun depan.

Brad berkata, peluang beraksi bersama skuad senior adalah perkara yang baik untuk pembangunan pemain terbabit supaya lebih terdedah kepada corak permainan berintensiti tinggi.

"Satu perkara yang bagus dan baik untuk pemain berkenaan apabila diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad senior.

"Seperti sedia maklum, mereka mungkin diturunkan dalam kedua-dua aksi bersama skuad B-23 dan senior dan saya akan berbincang bersama Cheng Hoe untuk melihat perkara terbaik untuk mereka," katanya.

Mengikut rekod, skuad B-23 negara dalam persediaan untuk mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Pasukan itu menyasarkan untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang dijadualkan pada tahun depan di Uzbekistan.

Anak buah Cheng Hoe pula akan menghadapi saingan Piala AFF dijadualkan berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari tahun depan.

Selepas perlawanan terbabit, skuad senior turut akan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung Februari tahun depan.

Disiarkan pada: October 17, 2021 @ 5:31pm
d