Bola Sepak

Ronaldo mula dibenci penyokong Man United

Oleh Agensi

London: Kisah dongeng Ronaldo kembali ke Old Trafford kini nampaknya bertukar menjadi mimpi ngeri selepas Manchester United bergelut mendapatkan keputusan terbaik.

Penyerang itu mencetuskan rasa kurang senang selepas penyokong mempersoalkan sumbangannya ketika United tewas 2-4 kepada Leicester.

Bintang berusia 36 tahun itu kembali beraksi bersama United selepas 12 tahun meninggalkan kelab itu dan meledak lima gol sepanjang enam perlawanan pertamanya.

Bagaimanapun dia gagal menjaringkan gol untuk kelab pada bulan ini dan ia mula mengundang resah penyokong Red Devils.

Seorang penyokong bernama 'thenextantman' menulis di Twitter: "Ronaldo mencipta banyak masalah. Jika dia terus beraksi seperti ini, maka tidak mustahil jika dia dilepaskan pada Januari. Dia perlu melakukan sesuatu.

Seorang lagi pengguna Twitter bernama 'Jnz2001' berkata: "Realitinya ialah dia akan berusia 37 tahun kurang daripada enam bulan.

"Dia masih lagi mampu menjaringkan gol tetapi untuk berapa lama lagi boleh menyumbang untuk pasukan?

Penyokong kecewa dengan aksi barisan pemain United yang tewas kepada Foxes, Sabtu lalu.

Ronaldo dilihat menjadi penyerang tunggal sambil dibantu oleh Jadon Sancho, Bruno Fernandes dan Mason Greenwood di belakangnya.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 10:02pm
d