Bola Sepak

De Bruyne faham rasa kecewa Sterling

Oleh AFP

London: Kevin De Bruyne berkata dia memahami kekecewaan dialami Raheem Sterling selepas penyerang England itu mendedahkan bersedia untuk meninggalkan Manchester City untuk memperoleh lebih banyak minit permainan.

Sterling bersama City sejak 2015 selepas berhijrah dari Liverpool dan sudah memenangi tiga gelaran Liga Perdana bersama kelab itu.

Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun itu hanya diturunkan dalam kesebelasan utama sebanyak tiga kali musim ini.

Dia bergelut dengan prestasi dan berdepan persaingan dengan barisan penyerang lain termasuk Phil Foden dan Jack Grealish.

Bercakap menjelang aksi Liga Juara-Juara bertemu Club Brugge, De Bruyne berkata, penggiliran pemain amat penting untuk kelab yang beraksi di pelbagai pertandingan namun pada masa sama turut bersimpati dengan Sterling.

"Saya faham kekecewaannya kerana saya seorang pemain dan anda mempunyai sesetengah pemain yang memerlukan rentak permainan. Mungkin Sterling seorang pemain seperti itu," katanya.

"Secara peribadi, saya adalah pemain seperti itu. Kadangkala sukar apabila beraksi pada satu perlawanan dan kemdian tidak beraksi pada perlawanan lain.

"Apapun ia terpulang kepada pengurus yang membuat keputusan dan ia pastinya sangat sukar."

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 10:52pm
d