Bola Sepak

Gol lewat Lacazette cemar kepulangan Vieira

Oleh AFP

London: Patrick Vieira hampir menikmati kepulangan yang diidamkan ke Emirates tetapi jaringan penyamaan Alexandre Lacazette pada minit ke-96 menyelamatkan Arsenal ketika terikat 2-2 menentang Crystal Palace, pagi ini.

Jaringan pada minit ketujuh oleh Pierre-Emerick Aubameyang memberikan tuan rumah permulaan baik.

Namun rekod tanpa kalah Arsenal dalam lima perlawanan hampir dimusnahkan The Eagles yang bangkit mendahului menerusi jaringan babak kedua Christian Benteke dan Odsonne Edouard.

Skuad kendalian Vieira gagal mempertahankan kelebihan, dengan Lacazette memanfaatkan bola sepakan sudut pada saat-saat akhir untuk gol penyamaan.

"Ia sangat hampir tetapi kami sudah berkata begitu terlalu kerap." kata Vieira di mana skuad kendaliannya kini seri lima kali dalam lapan perlawanan liga musim ini.

"Saya amat kecewa kerana cara pasukan bangkit di babak kedua, mereka berhak untuk menang."

Satu mata yang dikongsi itu melonjak Arsenal ke tangga ke-12 liga, namun mereka dilihat berdepan masalah untuk mencabar dalam pemburuan tempat bagi saingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Krisis Arsenal selepas merakam permulaan terburuk liga dalam tempoh 67 tahun sedikit reda apabila mereka mengumpul 10 daripada 12 mata ditawarkan.

"Selepas jaringan awal itu kami tidak menguasai permainan dengan baik." kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.

"Kami tidak tenang dan mengawal permainan. Apa yang positif ialah kami terus berusaha. Mereka kekal yakin sehingga akhir.

"Begitulah cara kami mendapatkan mata. Saya kecewa dengan keputusan ini. Kami mensia-siakan kelebihan."

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 7:50am
d