Bola Sepak

UEFA hukum England kerana insiden Euro 2020

Oleh AFP

London: England akan beraksi tanpa penonton pada perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri dalam kejohanan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan kekecohan yang tercetus ketika final Euro 2020 di Wembley.

Perlawanan final membabitkan England menentang Itali pada 11 Julai lalu dicemari insiden pencerobohan peminat tanpa tiket yang cuba melepasi kawalan keselamatan stadium.

Selain hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan, UEFA turut mengenakan hukuman untuk perlawanan kedua, yang ditangguhkan untuk dua tahun.

Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) juga didenda 100,000 euro (RM484,719) atas beberapa faktor termasuk kurang kawalan, disiplin di dalam serta sekitar stadium selain balingan objek.

Dalam satu kenyataan pihak FA berkata: "Walaupun kami kecewa dengan keputusan ini, kami akur dengan hasil keputusan UEFA.

"Kami mengutuk sikap buruk individu yang mencetus kekecohan di Wembley ketika final Euro 2020, dan kami kesal sebahagian daripada mereka berjaya memasuki stadium," kata FA.

Larangan berkenaan akan dikenakan pada perlawanan pertama di laman sendiri Liga Negara-Negara UEFA 2022-23, manakala aksi kelayakan Piala Dunia menentang Albania bulan depan terselamat kerana ia anjuran FIFA.

Bagaimanapun Presiden UEFA Aleksander Ceferin menegaskan, hukuman berkenaan tidak akan menjejaskan usaha United Kingdom dan Ireland untuk membida penganjuran Piala Dunia 2030, dan Wembley dilihat sebagai gelanggang penting untuk badan induk itu dalam penganjuran aksi final pertandingan kelab pada masa akan datang.

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 9:13am
d