Bola Sepak

PJ City FC tekad tamatkan episod kekalahan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kekalahan dalam dua perlawanan berturut-turut, sebelum ini mahu dilupakan pemain skuad Petaling Jaya (PJ) City FC yang memburu kemenangan apabila menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super, malam esok.

Perancang tengah skuad itu, R Barathkumar berkata, perlawanan laman sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendapatkan tiga mata.

Katanya, dia dan rakan sepasukan tidak rela terus tercicir jauh dari pencabar lain andai gagal mempamerkan kebangkitan dan mengutip mata kemenangan.

"Dua kekalahan berturut-turut dialami sebelum ini ternyata meletakkan pasukan dalam kedudukan tidak baik dan andai situasi itu berterusan, sudah tentu akan membawa kepada kedudukan lebih buruk atau zon penyingkiran.

"Oleh itu, kami perlu berusaha mempamerkan persembahan lebih mantap pada perlawanan dengan Kedah ini dan memastikan kemenangan dapat dicapai di laman sendiri,"

katanya.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) itu berkata, biarpun pasukannya bakal berhadapan dengan skuad Kenari yang memiliki keupayaan tinggi selain rekod lalu banyak memihak kepada Kedah, mereka akan memastikan tiga mata tidak terlepas.

"Rekod pertemuan sebelum ini sememangnya memihak kepada Kedah, tetapi dengan kedudukan pasukan di tangga kelapan carta liga ketika ini, kami tiada pilihan kecuali berusaha meletakkan kembali pasukan di kedudukan lebih baik.

"Justeru, kami perlu bangkit memberikan komitmen 100 peratus dengan memastikan PJ City mendapat kemenangan," kata pemain berusia 29 tahun.

Barathkumar mengakui cabaran menentang Kedah itu nanti adalah sengit kerana pasukan lawan baharu saja tewas kepada Melaka United, sekali gus dahagakan kemenangan.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 7:33pm
d