Bola Sepak

Kedah tampil skuad terkuat di Piala AFC

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC kini memiliki skuad terbaiknya selepas mengumumkan seorang lagi pemain import, Mahmoud Al-Mardi semalam bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi saingan Piala AFC di Bali Indonesia bermula 24 Jun ini.

Dengan kemasukan Mahmoud bersama pasukan, KDA FC kini melengkapkan jumlah lima pemain import musim ini yang turut disertai Dechi Marcell, Marc Vales, Sanrawat Dechmitr dan Ronald Ngah Wanja.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Teknikal dan Pertandingan KDA FC, Shahrul Samsudin, mereka akan hadir ke Bali selama 13 hari bagi memburu satu slot ke peringkat kalah mati Zon Asean dan mensasarkan untuk melepasi peringkat Kumpulan G yang turut dihuni Bali United FC (Indonesia), Kaya FC (Filipina) dan Visakha FC dari Kemboja.

"Kami sasarkan Kedah dapat melepasi peringkat kumpulan. Walaupun tidak mudah tetapi saya lihat pasukan cukup bersemangat untuk menghadapi saingan antarabangsa ini.

"Pemain melalui program yang diatur khas sepanjang cuti sebulan ini dengan susunan modul latihan pula merangkumi padang, gimnasium serta sesi pemulihan dan dengan segala perancangan diatur rapi ini kita boleh lihat senarai pemain terbaik yang akan dipilih beraksi pada kejohanan di Bali nanti.

"Walaupun berhadapan tekanan lebih tinggi kerana beraksi di tempat lawan, saya yakin kita mampu beri aksi terbaik kerana adakalanya jika kita beraksi di tempat sendiri pun kita juga tetap menghadapi tekanan," katanya.

Mengenai sambutan penyokong yang akan ke Bali, KDA FC sangat menghargai semangat setia penyokong yang sanggup memberi sokongan di mana sahaja Kedah beraksi.

"Mereka juga adalah penyokong setia yang sering berada bersama pasukan dalam memberi sokongan padu setiap kali beraksi dalam dan luar negara seperti di Korea Selatan pada dua tahun lalu.

"Insya-Allah pasukan tidak akan menghampakan perjuangan serta sokongan kesetiaan yang mereka tunjukkan bersama pasukan," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 4:15pm
d