Bola Sepak

TFC II terkesan tanpa khidmat Mintah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali tanpa berselindung akui ketiadaan penyerang sensasinya, Jordan Mintah begitu dirasai apabila pasukannya bakal berdepan UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Mintah yang muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu ketika menyarung jersi skuad The Turtles itu secara rasminya kelmarin dipinjamkan kepada juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sehingga berakhirnya kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun jurulatih muda meningkat naik kelahiran Kemaman itu tetap positif dan berkeyakinan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang ditinggalkan pemain berkenaan.

Beliau juga percaya ketiadaan penyerang kelahiran Ghana itu mampu memberikan lebih minit permainan kepada pemain tempatan dalam usahanya melahirkan seberapa ramai penyerang berkualiti.

"Saya akui ketiadaan Mintah begitu dirasai lebih-lebih lagi dia adalah penyerang utama kami untuk merobek kubu pasukan lawan, malah kehadirannya juga memberi aura buat rakan sepasukannya setiap kali beraksi.

"Tapi saya perlu positif dan memandang ke hadapan selain percaya pemain tempatan mampu menggalas tugas di posisi berkenaan dengan berkesan walaupun sedar tidak setajam Mintah.

"Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain agar mereka mampu membuktikan kemampuan berdepan dengan UiTM dalam misi memburu tiga mata bagi mengintai kedudukan lebih baik," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya pemain yang bakal menggalas tugas di posisi serangan, jurulatih berusia 46 tahun itu menjelaskan beliau mempunyai tiga pilihan termasuk bekas penyerang skuad Terengganu FC (TFC), Muhamad Arif Mohamed Anwar yang tidak jadi berhijrah ke PDRM FC secara pinjaman.

"Selain itu dua lagi penyerang yang bakal menjadi pilihan termasuk Muhammad Izzan Syahmi Mustapa dan Fazli Ghazali manakala tiga tonggak import bakal diturunkan malam esok iaitu pemain tengah, Petrus Shitembi, Luke Woodland dan Argzim Redzovic," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:19pm
d