Bola Sepak

Buntu ledak gol, Devan tak panik

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kegagalan barisan pemain Negeri Sembilan FC mendapatkan sebarang jaringan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super tidak meresahkan ketua jurulatihnya, K Devan.

Sebaliknya, beliau masih percaya dengan kekuatan barisan penyerangnya menamatkan kemarau gol serta meraih tiga mata apabila bertemu Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

Jelas Devan, mereka banyak menjana peluang dalam ketiga-tiga perlawanan terakhir namun hanya dihampakan melalui sentuhan penyudah.

"Saya faham kerisauan peminat apabila pasukan tidak menjaringkan gol tetapi pemain ada pamerkan peningkatan dalam mencipta peluang semasa berdepan Melaka.

"Cuma hanya sentuhan penyudah menjadi dan kami sedang pertingkatkan aspek ini semasa sesi latihan.

"Semasa kami berdepan JDT (Johor Darul Ta'zim) pun kami ada peluang tetapi kami tidak manfaatkan dan saya akui dari segi penyudah, memang ada masalah.

"Bagi saya, jika barisan hadapan tidak mampu menjana peluang, itu yang saya akan lebih risaukan tetapi saya yakin barisan pemain mampu menjaringkan gol semasa aksi seterusnya semasa berdepan Sri Pahang," katanya.

Tiga perlawanan terakhir Negeri Sembilan menyaksikan mereka seri tanpa jaringan semasa bertemu Melaka United serta Kedah Darul Aman (KDA) FC dan tewas 0-1 kepada JDT.

Berdepan Sri Pahang, Devan menjelaskan Negeri Sembilan dapat menurunkan barisan terkuat apabila bebas daripada sebarang penggantungan atau kecederaan pemain.

Ini bermakna khidmat pertahanan, Herold Goulon yang tidak beraksi semasa berdepan Melaka United, pada Sabtu lalu dapat diturunkan semasa melayani kunjungan Sri Pahang FC di halaman sendiri nanti.

"Saya boleh gunakan kesebelasan terbaik untuk berdepan Sri Pahang apabila semua pemain termasuk Goulon bebas daripada semua masalah.

"Jadi sudah tentu kami mahu gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi meraih tiga mata biarpun dalam masa kami hormati kekuatan Sri Pahang.

"Dua pemain import terbaharu, Yashir (Pinto) dan Gustavo (Almeida) dijangka boleh tampil lebih baik dalam perlawanan kali ini.

"Harus diingat Yashir kali terakhir bermain secara kompetitif ialah pada penghujung Mei lalu di Liga Thailand sementara Gustavo, sudah empat bulan tidak bermain selepas kontraknya berakhir di Liga Jepun.

"Mereka sebenarnya masih dalam fasa membina kecergasan serta memahami taktikal dan gaya permainan pasukan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:47pm
d