Bola Sepak

Ronaldo pertimbang angkat kaki

Oleh Agensi

London: Cristiano Ronaldo mungkin meninggalkan Manchester United pada musim panas ini melainkan kelab itu menunjukkan keinginan tinggi ketika jendela perpindahan pemain.

Penyerang veteran itu menjaringkan 24 gol sepanjang 38 penampilan musim lalu, tetapi United melalui kempen terburuk mereka sepanjang era Liga Perdana.

Ronaldo, 37, pernah menyatakan rasa gembiranya dengan pelantikan bos baharu, Erik ten Hag.

Tetapi laporan di negara asalnya dekat Portugal mendakwa dia kecewa dengan tindakan kelab itu yang tidak aktif sepanjang jendela perpindahan pemain.

Ronaldo boleh meninggalkan kelab itu untuk kali kedua melainkan kelabnya serius mendapatkan pemain berkaliber.

Dia dikatakan pernah memberitahu Ten Hag: "Tingkatkan prestasi pasukan atau saya akan pergi."

Red Devils masih belum membuat sebarang pembelian pada musim panas ini, walaupun menyaksikan pemain seperti Paul Pogba, Jesse Lingard, Edinson Cavani, Nemanja Matic dan Juan Mata sudah meninggalkan kelab itu.

United menyaksikan sasaran utama mereka, Darwin Nunez sudah menyertai Liverpool.

Hasrat untuk mendapatkan Frenkie de Jong dari Barcelona juga masih belum pasti manakala terdapat laporan mendakwa Christian Eriksen menolak menyertai United untuk kekal di Brentford.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:24pm
d