Bola Sepak

Messi jana pendapatan PSG RM3.2 bilion

Oleh Agensi

Paris: Lionel Messi dilaporkan menjana pendapatan £600 juta (RM3.2 bilion) untuk Paris Saint-Germain pada tahun pertamanya di kelab itu walaupun dirinya melalui kempennya kurang memberangsangkan.

Legenda Argentina itu mengejutkan dunia pada musim panas lalu apabila meninggalkan Barcelona selepas dua dekad untuk berhijrah ke ibu kota Perancis.

Pemain berusia 35 tahun itu meraih pendapatan sekitar £1 juta (RM5.4 juta) seminggu di Parc des Princes selepas menandatangani kontrak selama dua tahun.

Walaupun kehadirannya disambut meriah, Messi hanya dapat menjaringkan enam gol dan menghasilkan 14 bantuan gol, statistik yang di luar jangkaan orang ramai.

Bagaimanapun, walaupun prestasinya hambar, impaknya di luar padang untuk juara Ligue 1 itu sangat luar biasa.

Media Marca mendakwa Messi berjaya meraih pendapatan RM3.2 bilion untuk kelab itu.

Kehadirannya membantu PSG mendapatkan 10 penajaan baharu seperti Dior, Gorillas, Crypto.com, Autohero, GOAT, Smart Good Things, Infinity Sports Water, Geekvape, PlayBetR, Volt dan Big Cola.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian PSG, Marc Armstrong memberitahu Marca: "Kami dapat menyaksikan peningkatan dalam beberapa aspek.

"Jika dahulunya kami memperoleh perjanjian bernilai antara tiga hingga lima juta tetapi kini meningkat kepada lima hingga lapan juta, jadi impaknya adalah besar."

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 8:38pm
d