Bola Sepak

KL City gagal jinakkan PSM Makassar

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketumpulan jentera hadapan nyata merugikan Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila terpaksa berkongsi satu mata dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Piala AFC selepas seri tanpa jaringan dengan kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

KL City yang menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu seharusnya mampu menamatkan aksi dengan kemenangan namun beberapa percubaan dinafikan tiang dan palang yang menyelamatkan pelawat.

Dalam aksi itu, PSM Makassar yang muncul juara Piala Indonesia pada 2019 lalu turut memberi cabaran ke atas skuad kendalian Bojan Hodak itu.

Begitupun, serangan anak buah Bernardo Tavares berjaya diimbangi skuad Warga Kota yang lebih menyerlah menerusi serangan balas.

Peluang keemasan tuan rumah sebenarnya hadir pada babak kedua apabila rembatan Romel Morales terkena tiang gol di minit ke-58 ketika penjaga gol PSM Makassar sudah pun tertewas.

Sembilan minit kemudian, palang pula menjadi penghalang apabila tandukan Irfan Zakaria singgah ke palang gol selepas memanfaatkan sepakan penjuru yang diambil ketua pasukan, Paulo Josue.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang di masukkan pada 10 minit terakhir hampir mencatat nama selaku penjaring namun gerakkannya berjaya dihalang penjaga gol pelawat dan kedudukan tanpa gol itu kekal hingga tiupan wisel penamat.

Selain KL City dan PSM Makassar, Kumpulan H turut dihuni wakil Singapura, Tampines Rovers.

Selepas sini, PSM Makassar akan berdepan Tampines Rovers, Isnin ini sebelum aksi terakhir kumpulan menemukan KL City dan Tampines Rovers pada 30 Jun ini.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 10:01pm
d